Cadangan UWO, pencen bulanan diteliti sebelum dilaksana - Amir Hamzah

Amir Hamzah (tengah) merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
Amir Hamzah (tengah) merasmikan Persidangan Cukai Kebangsaan 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan masih belum bersedia melaksanakan Perintah Kekayaan Tidak Dapat Dijelaskan (Unexplained Wealth Order – UWO) meskipun menerima cadangan untuk memperkenalkannya.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan bagaimanapun akan mengkaji isu berkaitan terlebih dahulu sebelum sebarang pelaksanaan dibuat.

“Kita akan mengkaji idea-idea yang bernas sebelum pelaksanaan dan saya terima cadangan untuk melihatnya. Kita akan mengkaji terlebih dahulu dan memahami isu-isu berkaitan kerana kita tidak mahu kesan yang tidak diingini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan 2025 di sini pada Selasa.

Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilaporkan berkata, Malaysia memerlukan UWO agar semua golongan elit bertanggungjawab terhadap sumber kekayaan mereka.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, kerajaan juga akan meneliti usaha memperkenalkan pembayaran pencen secara bulanan sebagai sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan sistem saraan negara.

Beliau berkata, kajian menyeluruh perlu dilaksanakan supaya kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal dapat diperhalusi.

“Masalah yang kita lihat sekarang adalah apabila seseorang mendapat akses penuh, ramai yang cepat menghabiskan wang itu. Jadi, apabila mereka sampai ke usia tua, mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi.

“Saya percaya dalam kajian itu, kita akan melihat pelbagai kaedah pelaksanaan yang lebih praktikal. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, inisiatif ini adalah untuk mereka yang baru menyertai Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bukan untuk mereka yang sudah berada dalam sistem,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi pada 31 Julai lepas, kerajaan akan meneroka mekanisme baharu untuk menjamin pendapatan berterusan selepas bersara melalui pengasingan caruman KWSP kepada dua komponen utama, iaitu simpanan persaraan dan pencen bulanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!