Konvensyen Rumah Ngaji: Saf umat Islam perlu disusun semula – Mohd Shafiq

KUALA LUMPUR – Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia bukan sekadar sebuah perhimpunan rohani, sebaliknya menjadi medan memperkukuh saf ummah dan menyatukan masyarakat Islam menerusi kefahaman yang mendalam terhadap al-Quran.
Pentadabur, Dr Mohd Shafiq Sahimi berkata, tadabbur Surah al-Saff yang dikongsikan dalam konvensyen julung kali itu bukan sekadar satu pengisian rohani tetapi seruan agar peserta menjadi ejen penyatuan ummah.
“Saya harap peserta yang hadir dari seluruh pelosok negara pulang dengan satu kefahaman baharu iaitu mereka perlu menjadi penyusun saf umat, bukan hanya datang mengaji dan pulang begitu sahaja,” katanya ketika ditemui semasa Konvensyen Rumah Ngaji Malaysia 1.0 di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa.
Menurut beliau, antara pengajaran utama daripada Surah al-Saff ialah pentingnya umat Islam bersatu mengelakkan pertelagahan serta menjauhi perkara yang boleh memecahbelahkan masyarakat.
“Kalau selepas balik dari konvensyen ini mereka mampu ubah sedikit tindakan seperti menyatukan komuniti, memadam api perbalahan dan menanamkan semangat ummah saya anggap itu sudah cukup besar ertinya,” ujarnya.
Mengulas lanjut isi tadabbur, Mohd Shafiq memetik dua ayat utama sebagai pedoman: pertama, seruan agar manusia mengaplikasikan ilmu dalam kehidupan, bukan sekadar mendengar dan mengetahui; dan kedua, keyakinan bahawa Islam akan kembali dominan di dunia.
“Bila kita yakin Islam akan menjadi agama yang menguasai dunia, maka kita juga perlu bertindak dan berfikir dengan penuh keyakinan, bukan dalam kelemahan atau sekadar bertahan,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar konvensyen seperti ini tidak berakhir sekadar dengan majlis dan tepukan, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan dalam kehidupan harian peserta.
“Jika semua peserta pulang membawa misi menyatukan umat dan memperkukuh nilai al-Quran dalam masyarakat, konvensyen ini bukan sahaja berjaya, malah memberi impak besar kepada masa depan negara,” tambah beliau.
Sementara itu, Pentadabur, Fazrul Ismail pula berkata, umat Islam tidak akan mampu membina kekuatan jika terus hanyut dalam perpecahan, budaya menyalahkan, serta hilang semangat saling memaafkan.
Menurutnya, kesatuan ummah merupakan legasi yang mesti diteruskan, dan ia tidak boleh dibina dengan kemarahan, tetapi dengan kasih sayang dan saling mengampuni seperti yang ditunjukkan dalam kisah para nabi terdahulu.
“Surah al-Saff mengajar kita bahawa dalam usaha untuk bersatu, pasti akan ada cabaran mungkin ada yang sakit hati, pemimpin buat kesilapan, anak buah pula berperangai.
“Tapi kita bukan malaikat, kita manusia. Kesilapan itu pasti berlaku. Yang penting ialah bagaimana kita berlapang dada dan tidak mudah menghukum,” jelasnya.
Fazrul berkata, cabaran utama umat Islam hari ini ialah kesukaran untuk bersatu, dan penyelesaiannya hanya boleh dicapai dengan kembali kepada panduan al-Quran.
“Hendak membina saf yang kukuh, bukan semua orang perlu buat kerja yang sama. Seperti membina rumah, mesti ada pintu, bumbung dan dinding.
“Masing-masing ada peranan. Kalau ada kelemahan, kita saling bantu, bukan saling menyerang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

