ADUN Paroi diminta tarik balik perkataan ‘gatal nak jadi YB’

ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain menggunakan ungkapan 'gatal nak jadi YB' yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli dewan.
ADUN Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain menggunakan ungkapan 'gatal nak jadi YB' yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli dewan.
A
A
A

SEREMBAN - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan sedikit kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi, Kamarol Ridzuan Mohd Zain menggunakan ungkapan 'gatal nak jadi YB' yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan ahli dewan.

Perkara itu berlaku semasa sesi ucapan penangguhan dalam Persidangan Kedua, Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan ke-15 yang berlangsung pada Selasa.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bangkit memohon agar Kamarol Ridzuan menarik semula ungkapan tersebut kerana didakwa melanggar Peraturan Mesyuarat DUN, Perkara 21(b).

"Perkara 21(b) menyatakan setiap ahli dewan dilarang menggunakan perkataan yang boleh mendatangkan rasa sakit hati serta membuat sebarang kenyataan yang tidak berkaitan terhadap ahli lain," katanya.

Jalaluddin
Jalaluddin

Menurut Jalaluddin, ungkapan tersebut difahamkan ditujukan kepada penyelaras DUN Paroi dan secara tidak langsung digunakan di hadapan Yang Dipertua (YDP) DUN, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

"Saya minta ADUN Paroi tarik balik perkataan 'gatal nak jadi YB'. Pemahaman saya sebagai Exco, ia ditujukan kepada penyelaras DUN Paroi dan kebetulan digunakan didepan YDP DUN," katanya.

Kamarol Ridzuan kemudiannya menjelaskan bahawa beliau telah menarik semula perkataan itu ketika sesi penggulungan berlangsung.

Artikel Berkaitan:

Jalaluddin menegaskan bahawa bahasa sedemikian tidak wajar digunakan dalam sidang dewan yang seharusnya dijalankan dengan tertib dan penuh hormat.

"ADUN Paroi, saya minta maaf, tetapi kita berada dalam persidangan rasmi. Perkara seperti ini tidak boleh dibenarkan.

"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi perbezaan itu harus membawa kepada kekuatan dan kesejahteraan rakyat," katanya.

Kekecohan itu berpunca daripada ucapan penangguhan Kamarol Ridzuan yang diselitkan dengan pantun sindiran, termasuk rangkap berbunyi 'Kalau gatal nak jadi YB, elok bertanding pilihan raya depan'.

MK Ibrahim kemudian menegur dan meminta perkataan itu ditarik balik kerana berunsur sindiran dan dianggap tidak wajar disebut dalam dewan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!