Istana Ganabhaban jadi muzium revolusi Bangladesh

DHAKA - Istana ini pernah dikawal ketat ketika menjadi kediaman rasmi bekas Perdana Menteri Bangladesh digulingkan, Sheikh Hasina.
Kini, ia bakal dijadikan Muzium Memorial Julai sebagai simbol peringatan kebangkitan revolusi rakyat yang melancarkan gerakan penentangan terhadap pemerintahan autokratik beliau.
Imej memaparkan peserta protes mengibarkan bendera di bumbung istana terletak di Sher-e-Bangla Nagar, ibu kota Dhaka tersebut selepas Hasina, 77, melarikan diri dengan menaiki helikopter ke India ialah gambaran jelas tentang kemuncak tunjuk perasaan dipimpin kumpulan pelajar yang berjaya menyingkirkan pemimpin wanita tersebut pada 5 Ogos 2024.

Setahun kemudian, negara Asia Selatan yang berpopulasi kira-kira 170 juta penduduk itu masih dilanda kemelut politik dan perebutan kuasa.
Pihak berkuasa bagaimanapun berharap Istana Ganabhaban akan menyampaikan mesej berguna untuk generasi akan datang.
Contengan grafiti yang mengutuk rejim kuku besi itu, 'kebebasan', 'kami mahu keadilan', 'diktator' dan 'Hasina pembunuh' masih kekal pada dinding.
Kemarahan rakyat masih menebal berikutan pemerintahan pemimpin veteran itu menyaksikan pencabulan hak asasi manusia yang meluas termasuk penahanan dan pembunuhan di luar kuasa undang-undang terhadap penentang beliau.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan sehingga 1,400 terbunuh antara Julai dan Ogos 2024 ketika Hasina cuba mengekalkan kuasanya, namun akhirnya tumbang.
Beliau turut mengingkari perintah mahkamah supaya menghadiri perbicaraan berhubung kes jenayah kemanusiaan di Dhaka.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus, 85, yang memimpin kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan pada awal 2026 memaklumkan istana tersebut akan memelihara memori penting tentang kebangkitan rakyat yang menumbangkan kekejaman Hasina.
Simbol fasisme
Aktivis, Mosfiqur Rahman Johan, 27, merupakan salah seorang daripada ribuan penunjuk perasaan yang menyerbu dan 'berpesta' di kediaman mewah tersebut.
“Ia akan menjadi bukti sejarah penderitaan dan tentangan rakyat pada masa lalu. Ganabhaban ialah simbol fasisme dan rejim autokratik,” ujarnya.
Kompleks tersebut dibina bapa Hasina yang juga pemimpin pertama, Sheikh Mujibur Rahman dan pemimpin wanita itu menjadikan ia sebagai kediaman rasminya sepanjang tempoh 15 tahun memegang kuasa.

Kurator muzim itu, Tanzim Wahab berkata, pameran tersebut akan turut memaparkan artifak penunjuk perasaan yang terbunuh.
Kisah perjuangan mereka bakal diceritakan melalui filem dan gambar manakala nama mereka yang menjadi korban tindakan kekerasan pasukan keselamatan akan tertera pada plak.
“Objektif utama muzium ini adalah untuk mengimbau semula peristiwa ketika penindasan dan salah guna kuasa berleluasa selama bertahun-tahun. Ia adalah salah satu aspek paling penting projek tersebut,” jelasnya.
Muzium itu juga menyediakan pameran dalam bentuk animasi dan pemasangan seni interaktif bagi membolehkan generasi muda saling bertukar idea serta mengemukakan cadangan bernas untuk membina Bangladesh baharu.
Sebahagian struktur istana itu cuba dibaiki semula berikutan 'amukan' penunjuk perasaan telah menyebabkan kerosakan besar.
Muhibullah al Mashnun, 23, antara peserta protes yang bersama-sama merobohkan serta membakar apa jua simbol berkaitan Hasina.
“Tindakan seumpama itu penting untuk membolehkan Bangladesh beralih kepada fasa yang lebih baik pada masa depan dan simbol kejatuhan rejim diktator,” tegasnya. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

