Lagi korban kebuluran di Gaza

GENTING GAZA - Jumlah korban krisis kebuluran dan malnutrisi di Genting Gaza terus meningkat selepas sebanyak tujuh lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Kementerian Kesihatan di wilayah itu pada Ahad mengesahkan angka mangsa kezaliman rejim Zionis itu telah meningkat kepada 176 orang termasuk 93 kanak-kanak.
Usaha penghantaran bekalan kemanusiaan termasuk bantuan dari udara yang dilancarkan sejak minggu lalu masih tidak dapat mengatasi krisis kelaparan tersebut yang semakin buruk sejak sekatan ketat Israel pada Mac lalu.
Pada Sabtu lalu, sumber Hospital al-Shifa di Bandar Gaza memaklumkan kematian seorang atlet Palestin akibat kebuluran.
Atef Abu Khater, 17, mengalami kekurangan zat makanan yang teruk dan dihantar ke hospital kerana pelbagai komplikasi setelah berat badannya menurun kepada 25 kilogram (kg) daripada angka asal 70kg.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Gaza mendakwa ribuan trak bantuan kemanusiaan kini terkandas di lintasan sempadan ke Gaza selepas Israel berterusan menggunakan makanan sebagai 'senjata perang'.
“Terdapat lebih 22,000 trak tersadai dan sebahagian besar daripadanya milik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi antarabangsa lain. Rejim Tel Aviv sengaja menyekat kemasukan konvoi tersebut.
“Kami menggesa pembukaan menyeluruh lintasan sempadan dan jaminan penghantaran bantuan selamat kepada penduduk Palestin sebelum terlambat,” menurut Pejabat Media Gaza dalam satu kenyataan.
Difahamkan, puluhan lagi pencari bantuan terkorban pada akhir minggu lalu ketika negara antarabangsa mempergiatkan usaha menyalurkan bekalan penting ke wilayah tersebut. - Agensi
Info:
>Pada minggu lalu, sekurang-kurangnya 325 pencari bantuan maut ditembak askar Zionis ketika mereka cuba menghampiri hab bantuan kendalian Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).
>Sejak Mei, Israel telah membunuh lebih 1,330 pencari bantuan di Gaza manakala lebih 8,810 cedera.
>PBB memaklumkan lebih 6,000 kanak-kanak dirawat kerana malnutrisi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

