70 premis R&R di Pahang peroleh sijil halal

Syed Ibrahim (dua dari kiri) ketika menyantuni peniaga di R&R Temerloh arah barat pada Isnin.
Syed Ibrahim (dua dari kiri) ketika menyantuni peniaga di R&R Temerloh arah barat pada Isnin.
A
A
A

TEMERLOH-Sebanyak 70 premis membabitkan lima Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di negeri ini telah memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di Pahang, sekali gus menambahkan keyakinan pengunjung di hentian terlibat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha tersebut dapat direalisasikan hasil langkah yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dalam membantu gerai-gerai terlibat mendapatkan SPHM.

“Saya ucap tahniah kepada 70 gerai R&R di Pahang yang hampir keseluruhannya telah mendapat sijil halal.

“Jadi tahniah kepada para pengusaha, JAIP, pihak konsesi dan AFA Prime Sdn Bhd yang telah memberikan kerjasama yang baik.

“Sebenarnya, usaha ini bukan hanya tertumpu kepada pengusaha R&R sahaja. Setakat ini, sebanyak 612 premis di Pahang telah memiliki sijil halal, termasuk kantin-kantin di sekolah-sekolah agama milik Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Zon Halal R&R Temerloh arah barat, di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Abdul Zaki Md Zain dan Eksekutif Fasiliti AFA Prime Sdn Bhd, Ahmad Khalil Yaakob.

Tambah Syed Ibrahim, sebanyak 18 sekolah agama di Pahang telah memperoleh sijil halal tersebut, dan usaha sedang giat dijalankan untuk memperluaskannya ke sekolah agama rakyat.

“Sebab itu kita menyarankan pihak Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri menyahut seruan mendapatkan sijil halal untuk keselesaan ibu bapa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa langkah tersebut turut diperluaskan ke hospital-hospital di negeri ini.

“Bahkan sekarang ini kita sedang berusaha bekerjasama dengan pelabuhan untuk mewujudkan SOP (prosedur operasi standard) halal di pelabuhan.

“Ini kerana kita menerima barangan dari luar negara, dan kita mahu pastikan barang yang sampai itu juga tertakluk kepada piawaian halal,” katanya lagi.

Ujarnya, proses permohonan sijil halal kini boleh dilakukan secara dalam talian dan tempoh kelulusan juga telah dipercepatkan kepada kira-kira sebulan berbanding 90 hari sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!