WHO kerjasama dengan platform media sosial kekang berita palsu

No Image Caption
A
A
A

ANKARA - Kerajaan perlu melipatgandakan langkah berjaga-jaga mengenai penularan, diagnosis dan rawatan koronavirus (Covid-19), kata jurucakap kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Fadela Chaib lapor agensi berita Anadolu pada Isnin.

Beliau turut menasihatkan setiap orang perlu mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan, mendengar arahan pegawai kesihatan antarabangsa dan mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai seperti WHO.

WHO akan bekerjasama dengan platform media sosial seperti Twitter, Facebook, Pinterest, Tencent dan Tiktok, untuk menyekat berita palsu mengenai virus Covid-19.

Di negara yang dilanda pandemik, kerjasama itu membolehkan pengguna dalam talian terus ke laman web WHO secara automatik untuk maklumat mengenai Covid-19.

Sementara itu, jurucakap WHO Tarik Jasarevic berkata, setiap negara perlu mengambil langkah pencegahan bergantung kepada situasi dalam negara dan tahap penularan virus.

"Perkara paling kritikal sekarang ialah setiap individu perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing. Kami menyeru rakyat mematuhi arahan pegawai kesihatan dan membantu orang lain seboleh yang mungkin," katanya sambil menambah warga tua tidak digalakkan berada di tempat sesak.

Daripada 173,000 kes disahkan, angka korban kini melebihi 6,600 orang, manakala lebih 77,500 lagi pulih, menurut Worldometer. - Bernama

Artikel Berkaitan: