Covid-19: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang lain.
Ringgit turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang lain.
A
A
A

RINGGIT meneruskan penurunan minggu lepas untuk ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan penyusutan harga minyak mentah global dan peningkatan kebimbangan terhadap penularan pantas Covid-19.

Unit mata wang tempatan jatuh kepada 4.3030/3080 berbanding Dolar AS daripada 4.2750/2800 ketika ditutup Jumaat.

Peniaga berkata, harga minyak global meneruskan aliran penurunannya pada Isnin berikutan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) yang gagal melegakan pasaran kewangan global yang diselubungi kebimbangan berikutan penularan pantas Covid-19 dan perang harga antara pengeluar minyak dunia utama.

Fed pada Ahad mengumumkan langkah pengurangan kadar faedah 100 mata asas kepada antara sifar dan 0.25 peratus untuk mengurangkan impak ke atas ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turut diniagakan bercampur-campur.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.0260/0312 daripada 3.0360/0406 ketika ditutup Jumaat, namun menyusut berbanding yen Jepun kepada 4.0613/0672 daripada 4.0228/0279.

Unit tempatan meningkat berbanding Pound Britain kepada 5.2711/2876 daripada 5.3822/3902, namun rendah berbanding Euro kepada 4.8155/8228 daripada 4.7730/7790 sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: