X

Kindly register in order to view this article
!

'Elak pembelian panik, bataskan pergerakan keluar rumah'

Orang ramai perlu membataskan pergerakan di luar rumah masing-masing selain mengelakkan pembelian panik.
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diminta melihat Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dari sudut positif dan memastikan aktiviti mereka seiring dengan objektif perintah itu untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, oleh itu orang ramai perlu membataskan pergerakan di luar rumah masing-masing selain mengelakkan pembelian panik.

Tujuan membataskan pergerakan di luar rumah adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada berlakunya kontak dengan individu lain.

"Dalam keadaan sekarang, (masyarakat) perlu lebih banyak berada di rumah, kalau perlu pergi ke kedai, ia untuk membeli barang keperluan sahaja.

"Jangan ambil kesempatan untuk bersiar-siar bagi mengelakkan virus (Covid-19) ini daripada merebak dengan lebih mudah," katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan para peniaga untuk tidak mengambil kesempatan dan mengeruhkan keadaan dengan menaikkan harga barangan.

"Sepatutnya rantaian bekalan itu bergerak seperti biasa kerana setakat ini tiada kawalan dari segi pergerakan barangan, contohnya, lori membawa bahan dan sebagainya, tiada sekatan.

"Maknanya harga barang tidak sepatutnya dinaikkan. Peniaga perlu memainkan peranan supaya barang mencukupi kerana dalam keadaan sekarang pengguna tidak boleh nak bergerak jauh," katanya.

 Orang ramai diminta melihat Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan dari sudut positif dan memastikan aktiviti mereka seiring dengan objektif perintah itu untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19).
Orang ramai diminta melihat Perintah Kawalan Pergerakan yang diisytiharkan dari sudut positif dan memastikan aktiviti mereka seiring dengan objektif perintah itu untuk mengekang wabak koronavirus (Covid-19).

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan bahawa Malaysia akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM), Azlin Othman melihat perintah itu sebagai satu peluang untuk pihak terlibat membantu usaha kerajaan.

"Pihak terbabit boleh membuat pembersihan dan pembasmian di pejabat-pejabat kerajaan, sekolah, taska, pusat pengajian tinggi, rumah ibadat dan premis-premis perniagaan yang tidak beroperasi dalam tempoh 14 hari ini," katanya.

Azlin juga menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atau 'menangguk di air keruh' dengan penjualan harga melampau cecair pencuci tangan pembasmi kuman dan penutup mulut dan hidung.

"Bagi pasar raya besar pula disarankan supaya melakukan pembersihan pembasmian pada troli dan bakul setiap hari selain menyediakan cecair pencuci tangan pembasmi kuman sebagai langkah-langkah pencegahan.

"Orang ramai dinasihat supaya sentiasa ikut langkah-langkah pencegahan dan kebersihan diri serta mendapatkan maklumat sahih daripada sumber yang tepat," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan yang turut memberi nasihat sama mencadangkan supaya setiap masyarakat membuat persediaan terbaik sepanjang menempuh perintah itu.

"Kita mesti ada perancangan hendak dibuat untuk memperbaiki keadaan diri kita, contohnya bersenam di dalam rumah. Apa pun yang patut dibuat adalah bagi melangsungkan kehidupan kita.

"Susunan jadual baharu perlu ada untuk keluarga kerana rutin harian mungkin berubah tetapi lakukan sesuatu supaya kita tidak rugi masa dan keadaan serta ada suatu faedah yang kita peroleh," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!