Kempen Internet Selamat capai lebih 160,000 audiens seluruh negara

Nik Kamaruzaman (tiga dari kiri) menununjukkan replika kaki gajah yang dipamerkan di karnival. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Nik Kamaruzaman (tiga dari kiri) menununjukkan replika kaki gajah yang dipamerkan di karnival. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – [DIKEMAS KINI] Kempen Internet Selamat (KIS) telah dilaksanakan di 851 lokasi di seluruh negara setakat ini, membabitkan lebih 160,000 audiens yang merangkumi pelajar, ibu bapa dan komuniti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 678 pelaksanaan membabitkan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, kolej dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

“Kempen ini dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi program kesedaran, forum pendidikan dan aktiviti interaktif yang melibatkan pelajar, guru serta ibu bapa.

“Fokus utama ialah membentuk daya tahan digital dalam kalangan anak-anak, melibatkan isu buli siber, eksploitasi seksual dalam talian, jenayah penipuan serta penyalahgunaan data peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kita Madani X PMR, Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Sekolah-Sekolah di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan institusi dalam menjayakan kempen itu di peringkat negeri serta daerah.

Beliau berkata, daripada 678 pelaksanaan di bawah KPM, sebanyak 408 melibatkan sekolah rendah, 259 sekolah menengah, lapan kolej dan dua IPTA, dengan jumlah audiens melebihi 70,000 orang.

“Selain itu, 173 pelaksanaan turut dilaksanakan untuk masyarakat umum termasuk komuniti, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan, yang membabitkan lebih 90,000 peserta,” katanya.

Beliau menambah, selain pelajar, kempen itu juga memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti setempat untuk menjadi penjaga utama keselamatan digital anak-anak.

Artikel Berkaitan:

“Masih ramai ibu bapa kurang pendedahan terhadap risiko digital yang dihadapi oleh anak-anak mereka.

“Dengan pendekatan lebih santai dan interaktif, kami mahu membantu mereka memahami cara memantau serta membimbing anak-anak berinteraksi secara selamat dalam ruang siber,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!