Iran laksana hukuman potong tangan ke atas 3 pencuri berulang

Iran potong tangan tiga pencuri profesional selepas Mahkamah Tinggi mengesahkan hukuman atas kes kecurian berulang melibatkan lebih 40 pengadu dan barang curian berupa emas - Gambar hiasan
Iran potong tangan tiga pencuri profesional selepas Mahkamah Tinggi mengesahkan hukuman atas kes kecurian berulang melibatkan lebih 40 pengadu dan barang curian berupa emas - Gambar hiasan
A
A
A

TEHERAN – Pihak berkuasa Iran melaksanakan hukuman potong tangan terhadap tiga pesalah yang melakukan kecurian secara berulang di wilayah Azerbaijan Barat, Iran.

Menurut laporan AFP, hukuman itu diumumkan oleh pihak kehakiman Iran menerusi kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi badan kehakiman negara tersebut, Mizan Online.

“Hukuman potong tangan untuk tiga pencuri profesional dengan rekod kes kecurian berulang telah dilaksanakan di wilayah Azerbaijan Barat,” menurut kenyataan berkenaan.

Walaupun butiran terperinci mengenai kes kecurian tidak didedahkan, laporan itu memaklumkan bahawa ketiga-tiga pesalah terbabit telah ditahan sejak beberapa tahun lalu dan mempunyai lebih 40 pengadu peribadi di empat wilayah berbeza.

Hukuman berkenaan dilaksanakan selepas Mahkamah Tinggi Iran mengesahkan keputusan mahkamah rendah sebelum ini.

Tindakan tersebut diambil berikutan kegagalan ketiga-tiga pesalah memberikan kerjasama dalam pelbagai rundingan pemulangan barang curian, yang kebanyakannya terdiri daripada perhiasan emas.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!