6,911 baris tarif Malaysia dikecualikan tarif AS

KUALA LUMPUR - Sejumlah 6,911 baris tarif Malaysia tidak akan dikenakan cukai import atau sifar kadar tarif oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Untuk rekod, definisi baris tarif merujuk kepada item yang disenaraikan dalam jadual tarif sesebuah negara dan digunakan untuk mengelaskan barangan dagangan bagi tujuan pengenaan tarif.
Justeru, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, jumlah tersebut adalah meliputi 61 peratus berbanding keseluruhan 11,260 baris tarif yang diminta kerajaan AS untuk dikenakan cukai.
Menurutnya, perjanjian tersebut juga adalah hasil rundingan menyeluruh yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkepentingan dalam memastikan dasar serta kepentingan strategik negara tidak dikompromi.
“Ini merupakan pendekatan yang sistematik dan berstruktur bagi menentukan tawaran akhir kita kepada AS.
"Kita telah mengemukakan tawaran menyeluruh yang merangkumi 98 peratus daripada keseluruhan baris tarif.
"Daripada jumlah 11,260 baris tarif yang diminta (oleh AS), sebanyak 6,911 baris tarif tidak dikenakan duti (sifar tarif) iaitu kira-kira 61 peratus daripada keseluruhan baris tarif dikemukakan.
"Ini termasuklah barang-barang industri dan komoditi yang masih belum mampu dihasilkan oleh AS seperti getah dan minyak kelapa sawit," katanya pada sidang media berkaitan tarif AS di sini pada Rabu.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul menjelaskan, industri semikonduktor dan farmaseutikal tidak terjejas dan eksport ke AS kekal pada kadar tarif sifar.
Beliau turut menyentuh isu halangan bukan tarif dengan menyatakan bahawa kerajaan komited untuk menambah baik proses birokrasi yang selama ini dilihat sebagai penghalang kepada perdagangan dan pelaburan.
“Kami mengakui bahawa sebahagian halangan bukan tarif berpunca daripada sistem yang tidak efisien dan kami melihat perkara ini sebagai peluang untuk menambah baik proses sedia ada.
"Walau bagaimanapun, reformasi ini tidak akan menjejaskan piawaian peraturan negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
