Kibar Jalur Gemilang cukup sifat, elak pasang sesuka hati - Aminuddin

SEREMBAN - Masyarakat diseru supaya lebih peka dan tidak mencetuskan sebarang kontroversi melalui pemasangan Jalur Gemilang yang tidak mengikut garis panduan yang betul.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak perlu menzahirkan semangat patriotik dengan memastikan Jalur Gemilang yang koyak atau lusuh diturunkan serta tidak dipasang sesuka hati.
“Negara telah merdeka selama 68 tahun. Janganlah berlaku insiden yang menunjukkan pemasangan bendera secara terbalik, koyak, lusuh atau tidak mengikut garis panduan ditetapkan.
“Kibarkanlah bendera yang cukup sifatnya di mana-mana sahaja dengan penuh rasa bangga. Pastikan ia dipasang dengan hormat dan penuh adab kerana hal ini mencerminkan nilai diri kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2025 di Dewan MBS di sini pada Jumaat.
Aminuddin berkata, semua pihak termasuk pemimpin tempatan, guru, ketua komuniti dan penjawat awam memainkan peranan penting dalam membudayakan semangat cinta terhadap tanah air dalam kalangan masyarakat.
“Janganlah kita menganggap semangat patriotisme hanya milik generasi terdahulu dan tidak lagi relevan dalam konteks dunia moden hari ini.
“Anak-anak muda sebagai pewaris negara perlu diasuh dengan kefahaman sejarah, dipupuk dengan nilai kebertanggungjawaban dan dibimbing agar menjadi rakyat yang berani bersuara, namun tetap kekal beradab.
“Inilah erti sebenar kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan tetapi juga bebas daripada sifat kejumudan, kefanatikan dan ketidaktanggungjawaban,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, sempena Bulan Kebangsaan, beberapa program dan pengisian telah diatur seperti Pertandingan Pengkisahan Kenegaraan@Kelab Malaysiaku, Kembara Merdeka Jalur Gemilang, ProgramJIWA@Komuniti Madani, pertandingan koir, pertandingan keceriaan Bulan Kebangsaan dan Program USIM Kembara Patriotik@ETS
Selain itu, Program Kembara Merdeka Akar Umbi yang mula diperkenalkan pada 2024 juga akan diteruskan pada tahun ini dengan penyertaan hampir 300 buah kenderaan melibatkan semua tujuh daerah di Negeri Sembilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


