Bekas guru simpan 32 tan sampah dalam rumah

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Hobi aneh seorang bekas guru lelaki berusia 70-an yang menjadikan aktiviti mengumpul sampah sebagai rutin harian menyebabkan kediamannya di Taman Sentosa terpaksa dibersihkan dalam satu operasi khas.
Sebanyak kira-kira 32 tan metrik sampah pelbagai jenis dikeluarkan dari rumah dua tingkat itu sejak Ahad lalu hasil kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), SWM Environment, polis serta 35 sukarelawan.
Ahli Majlis MBJB kawasan Taman Sentosa/Taman Pelangi, Sally Ng Lied Ying berkata, rumah terbabit bukan sahaja dipenuhi longgokan sampah, malah turut mengundang gangguan bau busuk serta kehadiran haiwan berbisa seperti ular, tikus dan lipas.
Katanya, antara ‘sampah’ yang disimpan termasuk peralatan elektrik rosak, periuk nasi, cawan pecah, kasut lama, tin berkarat dan kerusi reput.
“Saya difahamkan oleh jiran-jiran, pak cik ini tidur di lorong belakang rumahnya pada waktu malam kerana rumahnya tidak boleh dimasuki akibat terlalu banyak sampah.
"Bukan tiada aduan selama 30 tahun. Kami terima aduan, namun proses pembersihan tidak dapat dijalankan sepenuhnya kerana tidak mendapat kerjasama daripada pemilik rumah.
"MBJB hanya membersihkan kawasan garaj sahaja, namun dua hari kemudian kawasan itu kembali dipenuhi sampah,” katanya.

Tambahnya, proses pembersihan kali ini hanya dapat dijalankan selepas MBJB mengeluarkan notis pengosongan dua minggu, walaupun usaha memujuk lelaki tersebut selama dua tahun sebelum ini gagal.
“Dia berkeras mengatakan barangan yang dikumpul itu bernilai RM8,000, terutama tin dan besi. Tetapi apabila diperiksa, semuanya sudah berkarat, rosak dan reput serta tidak mempunyai nilai.
"Demi memuaskan hatinya, kami sukarelawan mengasingkan barangan kitar semula yang masih elok untuk dijual, namun hasilnya tidak sampai RM1,000. Kami cukupkan nilai tersebut dan berikan kepadanya. Namun, dia tetap mendakwa barangan itu lebih bernilai,” jelasnya.

Sally Ng memberitahu, lelaki tersebut difahamkan mempunyai isteri warga Taiwan yang telah pulang ke negara asal, serta tiga orang anak lelaki yang kini menetap di Singapura.
“Kami sedang berusaha memujuknya mendapatkan rawatan psikologi dan mempertimbangkan penempatan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Jika tidak, masalah ini berisiko untuk berulang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

