SIS gugur perkataan Islam

Rozana.
Rozana.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kumpulan hak wanita, Sisters in Islam (SIS) menggugurkan perkataan Islam daripada nama yang digunakan secara umum susulan nasihat Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengarah Eksekutifnya, Rozana Isa berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa pada 11 Julai lalu dan kini kumpulan itu akan menggunakan nama berdaftarnya, SIS Forum (Malaysia).

“Walaupun kami menggugurkan perkataan Islam daripada nama pena kami, kami tetap teguh dalam komitmen memperjuangkan kesaksamaan jantina dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam.

“Akhirnya, yang paling penting adalah usaha kami untuk wanita Islam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rozana berkata, pihaknya berharap keputusan berkenaan akan menamatkan pertikaian yang telah lama berlarutan berkaitan nama kumpulan itu dan membolehkannya terus bekerjasama dengan semua pihak.

“Malangnya, kerja kami selama ini sering disalah tafsir oleh sesetengah pihak. Kami bukan mencabar Islam, tetapi memperjuangkan undang-undang yang sepatutnya melindungi wanita dalam institusi keluarga,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan rasa kecewa dan dukacita berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyatakan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai ke atas SIS Forum (Malaysia), kerana ia adalah sebuah entiti dan bukan individu.

Sehubungan keputusan tersebut, Sultan Sharafuddin menggesa SIS Forum Malaysia berhenti menggunakan perkataan 'Sisters in Islam' ke atas sebarang bentuk penerbitan di platform dikaitkan dengan syarikat mereka.

Titah baginda, penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!