Sanusi kecewa pengorbanan pahlawan terdahulu semakin dlupakan

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan rasa kecewa terhadap kecenderungan generasi hari ini yang dilihat semakin melupakan jasa dan pengorbanan pejuang serta pahlawan tanah air.
Beliau berkata, wujud tanda-tanda jelas bahawa sikap menghargai perjuangan generasi terdahulu semakin terhakis dalam minda masyarakat, khususnya kalangan generasi muda.
Menurutnya, perubahan masa yang menjarakkan kehidupan dengan nilai-nilai dan asas pembinaan bangsa dan tanah air tidak seharusnya membuatkan rakyat lupa dan mengabaikan pengorbanan mereka yang telah berjuang bermati-matian untuk memerdekakan tanah air tercinta.
“Hari Pahlawan seharusnya menjadi ‘hari besar’ kepada seluruh rakyat kerana tanpa perjuangan mereka, negara tidak mungkin dapat menikmati kemerdekaan dan kemakmuran seperti hari ini.

“Jadilah manusia yang bersyukur dan tahu berterima kasih. Jadilah manusia yang tahu hargai pengorbanan orang lain yang menjadikan nyawa dan kehidupan sebagai galang ganti untuk kita mendapat keamanan hari ini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Pahlawan 2025 di Tugu Peringatanmdi sini pada Khamis.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan dan meletak kalungan bunga sempena sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin serta Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Sultan Sallehuddin.
Muhammad Sanusi berkata, sambutan itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan pahlawan negara yang telah mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh sejak zaman penjajahan hingga kini.
“Inilah nilai dan jati diri kita sebagai pewaris bangsa yang tahu menghargai jasa dan budi mereka yang telah pergi. Setiap 31 Julai adalah detik penting untuk rakyat memperingati pengorbanan pahlawan negara di semua peringkat.
“Tabik hormat saya untuk semua pejuang bangsa dan negara dari dahulu hingga sekarang. Moga ALLAH SWT merahmati mereka yang telah gugur di medan perjuangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

