Lee Chong Wei kini bawa gelaran Datuk Seri

Tun Ramli (kanan) mengurniakan DGPN yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Chong Wei pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri pada Rabu. Foto Bernama
Tun Ramli (kanan) mengurniakan DGPN yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Chong Wei pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang Dipertua Negeri pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

LAGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei meluahkan rasa terharu selepas sekali lagi menerima penghargaan daripada Kerajaan Pulau Pinang selepas kali terakhir menerima pingat negeri itu pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

Chong Wei, 43 menerima Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Hari Ulang Tahun Ke-84 Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib di Dewan Sri Pinang di sini pada Rabu.

Menurut Chong Wei, penghargaan tersebut menjadi pemangkin untuk beliau terus memberi sumbangan kepada negara bukan hanya dalam bidang sukan tetapi juga pembangunan pendidikan.

"Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pulau Pinang atas pengiktirafan ini. Saya menerima pingat pertama saya di Pulau Pinang pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk.

"Sekarang sudah tahun 2025 iaitu 17 tahun selepas itu dan saya sekali lagi menerima penghargaan. Soalan yang sering saya fikirkan ialah bagaimana saya boleh terus bermotivasi untuk memberi sumbangan kembali kepada negara.

"Bukan hanya dalam bidang badminton malah dalam pembangunan pendidikan secara keseluruhannya. Saya ingin membantu sedaya upaya setakat yang saya mampu," katanya ketika ditemui selepas majlis penganugerahan tersebut.

Chong Wei yang kini Ahli Lembaga Majlis Sukan Negara antara penerima DGPN termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Jana Santhiran Muniayan, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, pengasas Kumpulan UWC Berhad, Datuk Ng Chai Eng dan Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP, Profesor Datuk Dr Noor Inayah Ya’akub.

Chong Wei, anak jati Pulau Pinang merupakan bekas pemain nombor satu dunia yang pernah mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa dengan meraih pelbagai kejuaraan termasuk tiga pingat perak Olimpik dan 69 gelaran kejohanan utama dalam karier profesionalnya.

Beliau yang bersara daripada arena badminton pada 2019 kini aktif dalam pelbagai program pembangunan sukan dan pendidikan belia di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!