RMK13: Sistem pasaran tenaga elektrik lebih inovatif diwujudkan buat pertama kali

RMK13 bakal memperkenalkan sistem pasaran tenaga baharu berasaskan kos sebenar dengan inisiatif TBB, CREAM, BESS dan hidrogen hijau, memacu pelaburan tenaga mampan dan keterjaminan bekalan menjelang 2030 - Gambar hiasan
RMK13 bakal memperkenalkan sistem pasaran tenaga baharu berasaskan kos sebenar dengan inisiatif TBB, CREAM, BESS dan hidrogen hijau, memacu pelaburan tenaga mampan dan keterjaminan bekalan menjelang 2030 - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya Malaysia akan mewujudkan sistem pasaran tenaga elektrik yang lebih inovatif berdasarkan kos sebenar perolehan penjanaan tenaga termasuk tenaga boleh baharu (TBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut akan membuka peluang kepada lebih ramai pemain industri untuk terlibat dan bersaing dengan lebih sihat dan telus.

Menurutnya, rakyat juga boleh menjana TBB di bawah bawah konsep akses grid terbuka melalui Program Community Renewable EnergyAggregation Mechanism (CREAM).

"Inisiatif Dana Kemudahan Peralihan Tenaga Negara serta Program Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat akan mempercepatkan pelaburan dalam tenaga hijau.

"Penglibatan sektor swasta akan memperkukuh keseluruhan rantaian nilai tenaga mampan negara," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

RMK13 merupakan satu hala tuju yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Tambah beliau, seiring denganNETR, battery energy storage system (BESS), grid pintar dan projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia pula akan membolehkan integrasi tenaga boleh baharu antara wilayah secara lebih efisien.

"Selain itu, inisiatif solar terapung hibrid hidro dan hab hidrogen hijau di Kenyir akan diperluas sebagai model tenaga hijau bersepadu. Kerajaan juga mempertimbangkan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih yang berdaya saing dan selamat.

"Pada masa yang sama, Kerajaan akan memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga sedia ada melalui pembinaan Kompleks Terminal Penggasan Semula Ketiga di Lumut, Perak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!