RMK13: Tiga aspek tambah baik tatakelola

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menumpukan tiga aspek utama bagi penambahbaikan tadbir urus dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk menginstitusikan kerajaan yang cekap dan berkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga akan menyediakan perkhidmatan yang berpaksikan rakyat serta memastikan kekuatan fiskal dan impak perbelanjaan negara sampai kepada golongan sasar.

Menurutnya, integriti dan akauntabiliti perlu dibudayakan secara menyeluruh, bukan hanya dalam kalangan penjawat awam atau agensi penguat kuasa, malah melibatkan semua sektor termasuk swasta, badan berkanun, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pertubuhan masyarakat.

“Justeru, Kerajaan Madani komited untuk memperkukuh ekosistem tadbir urus melalui reformasi perundangan dan institusi termasuk Parlimen, pengukuhan mekanisme pemantauan dan penerapan nilai integriti sejak peringkat awal pendidikan hingga ke jentera pentadbiran.

“Pembaharuan menyeluruh akan dilaksanakan melalui penguatkuasaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025, dengan keutamaan diberikan kepada usaha mengurangkan beban kawal selia yang membelenggu rakyat dan komuniti perniagaan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

RMK13 merupakan hala tuju strategik yang bakal memacu rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Anwar menjelaskan, demokrasi matang serta pentadbiran yang responsif dan cakna rakyat adalah sendi untuk meraih kepercayaan terhadap kepimpinan dan institusi kerajaan.

“Usaha memperkukuh pentadbiran berteraskan integriti dan akauntabiliti mula menunjukkan hasil. Imej Malaysia diperkukuh apabila melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025.

“Pencapaian ini didukung oleh pelbagai inisiatif, termasuk pewartaan akta baharu Iltizam, penubuhan Pasukan Petugas Khas seperti STAR, serta Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!