Pahang yakin mampu ulangi kutipan hasil lebih RM1 bilion tahun ini

KUANTAN – Kerajaan Pahang yakin mampu mengulangi pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan kejayaan tersebut untuk tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehingga 30 Julai lalu, kerajaan negeri telah berjaya mengutip hasil melebihi RM700 juta.
Menurutnya, mengambil kira prestasi semasa dan rekod kutipan tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran kutipan hasil melebihi RM1 bilion seperti yang ditetapkan tahun ini.
“Sehingga hujung tahun ini, insya-ALLAH kita mampu capai sasaran ini. Lagipun kita telah berjaya mencapainya selama tiga tahun berturut-turut.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga berjaya menguruskan hutang dengan baik apabila mengurangkannya daripada RM3.2 bilion kepada RM900 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman dividen saham Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) bagi tahun 2024 di sini, pada Khamis.
Wan Rosdy berkata, kejayaan itu adalah hasil inisiatif kerajaan dalam mengurus ketirisan dan berbelanja secara berhemah.
“Kita berbelanja jangan sampai boros, berjimat jangan sampai kedekut – itu kita punya 'tagline',” ujarnya.
Kerajaan Pahang berjaya mencipta ‘hatrik’ kutipan hasil melebihi RM1 bilion sejak 2022.
Kejayaan itu membuktikan prestasi Kerajaan Pahang di bawah pimpinan Wan Rosdy sangat cemerlang dan setanding dengan negeri-negeri maju lain seperti Selangor dan Johor.
Kutipan hasil tersebut akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk program kebajikan termasuk pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelbagai pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

