Dayusnya Falsafah Pendidikan

A
A
A

FALSAFAH Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah visi kudus yang mencorak roh semua sekolah dan universiti awam. Para profesor daripada universiti awam telah berusaha menafsir FPK dengan pelbagai perspektif dan membentuk kurikulum berlandaskan FPK.

Ibu bapa pula menghantar anak-anak ke sekolah dan universiti tanpa mengenali apakah itu FPK. Di sini saya sertakan FPK untuk rujukan bersama seperti berikut:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Untuk memudahkan penilaian terhadap FPK dalam artikel yang pendek ini, kita hanya memilih satu kalimah penting yang langsung tidak disebut oleh FPK. Kalimah ini bukan sekadar sepotong kalimah biasa. Ia adalah kalimah yang membongkarkan kedayusan FPK dalam melahirkan para pelajar dan mahasiswa. Apakah kalimah itu?

Kerosakan

Kalimah yang tidak wujud dalam FPK ialah ‘kompetitif’ atau berdaya saing. FPK menyebut tentang usaha berterusan untuk wujudkan insan yang ‘seimbang dan harmonis’ tetapi tidak menyebut tentang melahirkan insan yang ‘kompetitif’. Insan yang seimbang dan harmoni tidak semestinya kompetitif.

Ketika ALLAH SWT mencipta khalifah di muka bumi, para malaikat menyuarakan kebimbangan bahawa manusia akan merosakkan dunia dan menumpahkan darah. Bagaimana ALLAH SWT menghilangkan kebimbangan malaikat? Melalui pendidikan! Pendidikan yang bagaimana?

ALLAH SWT mendidik Nabi Adam untuk menjadi insan yang kompetitif dengan mengajarnya ilmu khas. Profesor Fazlur Rahman dalam bukunya Major Themes of The Qur'an berkata: “He (Allah) then brought about a competition in knowledge between angels and Adam”. ALLAH SWT telah mewujudkan persaingan ilmu antara para malaikat dan Nabi Adam. Malaikat telah ditanya tentang ilmu yang telah diajarkan kepada Nabi Adam. Malaikat mengaku bahawa mereka tidak tahu apa yang Nabi Adam tahu.

Artikel Berkaitan:

Naratif itu menunjukkan bahawa walaupun insan mampu membawa kerosakan, tetapi insan memiliki ilmu yang menjadikannya paling kompetitif sekali berbanding dengan para malaikat dan jin. ALLAH SWT mendidik Nabi Adam supaya kelak berjaya bersaing ilmu dan tidak syok sendiri tenggelam dalam usaha mencapai keseimbangan jasmani, intelek, rohani dan emosi.

Pendidikan perlu melahirkan insan yang kompetitif dari segi ilmu kerana dunia adalah musaabaqah (pertarungan). Insan bukan sekadar bertarung dengan nafsu dirinya tetapi juga bertarung dengan jin dan insan kufur yang sentiasa akan berusaha mendayuskannya agar dia tidak menjadi khairu ummah ukhrijat lin-naas iaitu umat terbaik yang dididik untuk manusia sejagat.

UNESCO telah menggariskan empat tonggak pembelajaran iaitu belajar untuk melakukan (learning to do), belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk mengenal diri (learning to be) dan belajar untuk hidup bersama (learning to live together). Tiada tonggak belajar untuk bersaing (learning to compete).

Kita tidak perlu takliq buta dengan tonggak pendidikan UNESCO yang dikuasai kuasa-kuasa besar yang sudah tentu tidak mahu kita bersifat kompetitif kerana ini akan mencabar status quo mereka.

Nabi SAW telah menjanjikan gelang Raja Parsi kepada Suraqa bin Malik sebagai tanda sifat kompetitif global. FPK perlu menjanjikan Rumah Putih Presiden Amerika!

* Xifu Naser ialah pensyarah Pemikiran Kritis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)