Perhilitan pasang papan tanda LED lintasan tapir di Puncak Alam

Papan tanda LED dipasang di Kilometer 10.6 Jalan Persiaran Mokhtar Dahari-Puncak Alam. Foto Perhilitan
Papan tanda LED dipasang di Kilometer 10.6 Jalan Persiaran Mokhtar Dahari-Puncak Alam. Foto Perhilitan
A
A
A

SHAH ALAM - Papan tanda diod pemancar cahaya (LED) lintasan hidupan liar dipasang di Kilometer 10.6 Jalan Persiaran Mokhtar Dahari-Puncak Alam di sini.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berkata, kawasan terbabit telah mencatatkan tiga kes kemalangan spesies tapir bagi tempoh tahun 2018 hingga 2023.

"Lokasi ini berhampiran Hutan Simpan Bukit Cherakah.

"Papan tanda LED ini turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi merekod dan memantau kawasan lintasan hidupan liar," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi.

Papan tanda LED ini turut dilengkapi CCTV bagi merekod dan memantau kawasan lintasan hidupan. Foto Perhilitan
Papan tanda LED ini turut dilengkapi CCTV bagi merekod dan memantau kawasan lintasan hidupan. Foto Perhilitan

Tambahnya, projek inovasi melalui Bahagian Konservasi Hidupan Liar (KHL) Perhilitan ini merupakan satu tindakan proaktif jabatan untuk meningkatkan kesedaran awam.

Jelas kenyataan, ini juga menjadi peringatan visual yang lebih jelas kepada pemandu kenderaan untuk memperlahankan kenderaan apabila melalui kawasan lintasan hidupan liar terutama pada waktu malam.

"Pemandu dinasihatkan memperlahankan kenderaan bila nampak papan tanda, sentiasa peka terhadap pergerakan hidupan liar bagi mengelakkan kemalangan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan pemasangan papan tanda LED itu dilaksanakan pada 25 Julai lalu.

Pada April lalu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ketika itu, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, sebanyak 112 ekor Tapir Malaya mati akibat dilanggar kenderaan di jalan Persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya bagi tempoh 2020 hingga tahun lepas.

Kata Nik Nazmi, data terkini Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menunjukkan hanya 700 hingga 800 ekor Tapir Malaya berada di habitat asal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!