Sumbat lebih 300 spesies hidupan liar RM460,000 dalam bagasi

SEPANG - Ratusan hidupan liar eksotik bernilai RM460,000 yang cuba diseludup keluar oleh dua lelaki tempatan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, digagalkan pada Rabu.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan berkata, kedua-dua suspek telah ditahan kira-kira jam 6.30 pagi menerusi pemeriksaan secara bersepadu agensi penguat kuasa.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui lebih 300 ekor haiwan liar eksotik dan dilindungi yang disorokkan di dalam bagasi dua lelaki terbabit.
"Antara spesies haiwan eksotik tersebut ialah blue iguana, red-eared slider, savannah monitor, nile monitor, common spotted cuscus dan black-throated
monitor.
"Kedua-dua lelaki ini gagal mengemukakan sebarang dokumen, permit atau surat kebenaran membawa keluar hidupan liar berkenaan," katanya pada Jumaat.
Tambah AKPS, dua individu itu disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Katanya lagi, operasi bersepadu melibatkan AKPS, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) itu akan terus dipergiatkan demi membanteras penyeludupan hidupan liar serta memastikan pemuliharaan biodiversiti negara terus terpelihara.
"Sebarang pemilikan, pemindahan atau perdagangan hidupan liar tanpa kebenaran sah merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang berat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
