Indonesia keluarkan amaran tsunami

JAKARTA – Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) pada Rabu mengeluarkan amaran awal tsunami susulan gempa bumi kuat berukuran 8.8 magnitud yang melanda pesisir timur Semenanjung Kamchatka, Rusia.
Menurut Pengarah Pusat Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Daryono, gempa tersebut berpotensi menghasilkan ombak tsunami setinggi kurang daripada 0.5 meter di beberapa kawasan di Indonesia.
Antara kawasan yang berada dalam tahap berjaga-jaga termasuk Kepulauan Talaud, dengan jangkaan ombak tiba sekitar jam 2:52 petang Waktu Indonesia Tengah (WITA), Kota Gorontalo pada 4:39 petang WITA, dan Halmahera Utara pada 4:04 petang Waktu Indonesia Timur (WIT).
Kawasan lain yang turut dijangka terkesan ialah Manokwari, Raja Ampat, Biak Numfor, Supiori, Sorong Utara, Jayapura dan Sarmi, dengan jangkaan ketibaan gelombang antara jam 4:08 hingga 4:30 petang WIT.
Daryono menasihatkan penduduk di kawasan pesisir agar kekal tenang dan menjauhi kawasan pantai sehingga pengumuman rasmi selanjutnya dibuat. Setakat ini, tiada kerosakan pada bangunan atau infrastruktur dilaporkan di Indonesia.
Kemaskini parameter gempa menunjukkan pusat gegaran terletak pada 52.51 darjah Lintang Utara dan 160.26 darjah Bujur Timur, pada kedalaman 18 kilometer.
Gempa itu dikenal pasti berpunca daripada aktiviti subduksi di Parit Kurile-Kamchatka dan diklasifikasikan sebagai kejadian sesar mendatar jenis 'thrust fault'.
Tambah Daryono, BMKG telah merekodkan tujuh gegaran susulan setakat jam 8:30 pagi Waktu Indonesia Barat (WIB), dengan kekuatan antara 5.4 hingga 6.9 magnitud.
BMKG turut mengingatkan orang ramai supaya hanya merujuk maklumat rasmi daripada pihak berkuasa dan tidak terpengaruh dengan khabar angin atau sumber tidak sahih.
Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik (PTWC) melaporkan bahawa gempa tersebut turut mencetuskan ancaman tsunami ke beberapa wilayah lain termasuk Rusia, Jepun, Alaska, Filipina, Hawaii dan Guam. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

