Bantuan sementara redakan derita penduduk Gaza

Penduduk Palestin beramai-ramai membawa guni tepung yang diedarkan kepada mereka di kawasan utara wilayah itu. Foto AFP
Penduduk Palestin beramai-ramai membawa guni tepung yang diedarkan kepada mereka di kawasan utara wilayah itu. Foto AFP
A
A
A

GENTING GAZA - "Hampir satu daripada tiga penduduk Palestin di Genting Gaza tidak makan selama berhari-hari".

Amaran itu diberikan Program Makanan Sedunia (WFP) di tengah-tengah krisis kebuluran yang semakin meruncing di wilayah tersebut.

"Malnutrisi terus meningkat dengan 90,000 wanita dan kanak-kanak memerlukan rawatan segera," ujar agensi antarabangsa itu lagi.

Usaha bantuan udara yang disalurkan beberapa negara telah memberi sedikit kelegaan buat penduduk Palestin meskipun rundingan damai Hamas-Israel masih gagal mencapai sebarang kesepakatan.

"Ia bukan hanya tentang kuantiti sebaliknya melibatkan kualiti makanan. Selama hampir empat bulan kami tidak dapat menikmati buah-buahan atau sayur-sayuran segar.

Penduduk Palestin membawa pulang bekalan makanan yang diagihkan kepada mereka. Foto AFP
Penduduk Palestin membawa pulang bekalan makanan yang diagihkan kepada mereka. Foto AFP

"Tiada juga ayam, daging dan telur. Apa yang ada untuk mengisi perut kami ialah makanan dalam tin yang sudah tamat tempoh dan tepung," ujar ibu kepada enam anak, Neveen Saleh.

Setelah Israel mengumumkan jeda kemanusiaan dan memberikan akses kepada aliran bantuan ke Gaza, aktiviti di pasar tempatan dilaporkan kembali meriah.

Artikel Berkaitan:

Harga barangan bagaimanapun kekal tinggi, namun ada yang dijual pada harga lebih murah berbanding empat hari lalu.

Difahamkan, harga sekilogram tepung menurun kepada AS$15 (RM63) daripada AS$85 (RM358).

Ramai penduduk Gaza bimbang perhatian yang kembali diberikan komuniti antarabangsa akan berakhir setelah penghantaran bantuan dibuat.

"Ia bukanlah penyelesaian secara kekal. Situasi sekarang seperti memberi ubat tahan sakit kepada pesakit barah tanpa memberikan rawatan sepatutnya kepada mereka," kata pemilik kedai di utara Gaa, Ahmad Taha.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres beliau tidak dapat menjelaskan sikap acuh tak acuh komuniti antarabangsa terhadap kesengsaraan di Gaza setelah krisis kebuluran di enklaf berkenaan kembali meraih perhatian ramai.

Ketika berucap pada perhimpunan Amnesty International, beliau memaklumkan lebih 1,000 pencari bantuan terdesak di wilayah itu terkorban sejak Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) disokong Amerika Syarikat (AS) beroperasi pada akhir Mei lalu.

Kontraktor keselamatan berkhidmat di GHF yang digelar 'perangkap maut' itu turut tampil mendedahkan pembunuhan kejam berlaku di hab bantuan tersebut.

Menurut Anthony Aguilar, IDF menggunakan peluru hidup, artileri dan bedilan kereta kebal ke arah orang awam tanpa belas kasihan.

"Sepanjang tempoh saya berkhidmat, saya tidak pernah melihat tahap kezaliman seperti ini. Pembunuhan beramai-ramai itu disengajakan," tambah bekas askar itu lagi. - Agensi

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!