Sebat patung mirip PM: Dua individu termasuk Chegubard ditahan

Mohd Khalid
Mohd Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua individu untuk siasatan kes membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini Sabtu lalu.

Difahamkan, dua individu itu termasuk aktivis, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penahanan dua lelaki berusia 21 dan 47 tahun itu dibuat pada Isnin.

Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Jenayah Kecil 1955.

"Polis menyiasat berkaitan peserta himpunan pada Sabtu lepas yang membawa dan menyebat patung mirip Perdana Menteri.

"Perbuatan itu telah dirakam dan dimuat naik dalam media sosial oleh pihak tertentu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis telah merampas peralatan komunikasi yang dipercayai digunakan untuk memuat naik dan menghantar maklumat berkaitan insiden terbabit.

Jelasnya, polis akan membuat permohonan reman terhadap dua individu itu.

Tegas beliau, PDRM menasihatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang berhemah dan tidak menggunakannya sebagai alat berkecenderungan menghasut sehingga boleh mencetuskan ketidakharmonian dan menjejaskan ketenteraman awam.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!