[VIDEO] Lelaki berdepan 58 pertuduhan, tipu rakan lama cecah RM1.3 juta
SUNGAI PETANI – Seorang bekas kakitangan sebuah sekolah antarabangsa di ibu negara mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas 58 pertuduhan membabitkan kes penipuan berjumlah kira-kira RM1.3 juta yang didakwa berlaku lima tahun lalu.
Tertuduh, V Elenggo, 56, berasal dari Seremban, memohon dibicarakan atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, beliau didakwa telah memperdaya mangsa yang merupakan bekas rakan sekolahnya, T Chandrarajan, 56, bagi membiayai pelbagai jenis projek fasiliti di sekolah antarabangsa tersebut antaranya melibatkan kerja-kerja pemasangan sistem dan peralatan kemudahan.
Perbuatan tersebut mendorong mangsa, seorang ahli perniagaan dari Kedah, menyerahkan wang secara berperingkat melalui pemindahan secara dalam talian ke beberapa akaun bank berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Februari hingga Julai 2020.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamaruzzaman dan Nur Hazwani Md Noor manakala tertuduh diwakili peguam P Suresh.
Peguam tertuduh memohon agar jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan ia hanya bertujuan memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah sepanjang perbicaraan.
Menurutnya, tertuduh telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan dan berharap satu jumlah jaminan yang munasabah dapat dipertimbangkan.
Mahkamah kemudian menetapkan jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM125,500 bagi 58 pertuduhan yang dihadapi.
Tarikh 14 Ogos depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

