Himpunan Turun Anwar: 16 laluan dijangka dilencongkan - Polis

KUALA LUMPUR - 16 laluan di sekitar pusat bandar raya dijangka dilencongkan lalu lintas berikutan Himpunan Turun Anwar di ibu kota pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, ia bergantung kepada situasi dari semasa ke semasa.
"Perhimpunan itu dijadualkan belangsung di lima lokasi utama iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan sebuah pusat beli belah sebelum peserta bergerak ke Dataran Merdeka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamed Usuf berkata, sehubungan itu beberapa lencongan laluan kenderaan akan diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan demi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya.
"Antara laluan yang dijangka terlibat dengan pelaksanaan lencongan adalah seperti Jalan Maharajalela susur ke Jalan Syed Putra, Jalan Kinabalu /U-turn Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad.
"Jalan Kinabalu susur ke Terowong Bukit Aman Jalan Kinabalu/susur ke Bulatan Dato' Onn, atas Bulatan Dato'Onn (kiri dan kanan) serta Bulatan Dato'Onn (Dari arah Jalan Parlimen)," katanya.
Beliau berkata, antara laluan yang turut dilancongkan ialah Jalan Sultan Salahuddin /Bulatan Dato' Onn; Jalan Kuching /Susur ke Jalan Sultan Ismail dan Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke arah Bulatan Dato Onn).
"Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke arah Bulatan Dato Onn); Jalan Lebuh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi; Jalan Hishamudin /Jalan Raja; Jalan Parlimen /Jalan Raja Laut; Jalan Tuanku Abdul Rahman /Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang /Jalan Tun Perak," katanya.
Beliau berkata, pihak polis menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menggunakan pengangkutan awam bagi meminimumkan kesesakan di pusat bandar.
"Orang ramai perlu mematuhi arahan-arahan anggota polis Trafik bertugas di lokasi. Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi menjaga ketenteraman dan keselamatan bersama.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai PolisTrafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
