Rezeki daftar cabutan bertuah dua jam sebelum acara berakhir

SHAH ALAM – Seorang wanita tidak menyangka kehadirannya ke Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada malam terakhir membawa tuah apabila diumumkan sebagai pemenang utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal QJ LTR 150.
Kartini Sirah, 49, berkata, kehadirannya ke karnival berkenaan bersama seorang sepupu pada pukul 9.30 malam semata-mata untuk melihat suasana meriah pada hari penganjuran.
"Saya daftar dan isi borang cabutan bertuah dan teruskan jalan-jalan seperti biasa.
"Bila nama diumumkan pada jam 11.00 malam, saya tergamam dan rasa seperti mimpi,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian hadiah acara cabutan bertuah Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 di sini pada Ahad.

Menurut Kartini, motosikal itu merupakan hadiah terbesar yang pernah dimenanginya dan akan digunakan untuk kemudahannya ke sesuatu lokasi.
“Saya bersyukur, rezeki tak disangka-sangka. Terima kasih kepada penganjur kerana menganjurkan acara yang bukan sahaja meriah tetapi juga membawa tuah kepada pengunjung seperti saya,” ujarnya.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussammuddin disaksikan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin.
Karnival selama tiga hari yang membuka tirai pada Jumaat lalu itu menyediakan pelbagai pengisian menarik kepada pengunjung bermula dari jam 9 pagi hingga 12 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
