Pembantu perawatan kesihatan didakwa cederakan suami bekas isteri guna parang

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun menggunakan parang pada 17 Julai lalu. Gambar hiasan
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun menggunakan parang pada 17 Julai lalu. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang pembantu perawatan kesihatan di sebuah hospital di sini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Ahad atas pertuduhan mencederakan suami bekas isterinya menggunakan sebilah parang dalam kejadian pada 17 Julai lalu.

Tertuduh, Nik Mohd Helmy Raja Sulong, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkifli Abdullah selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut kira-kira jam 3 pagi di tepi jalan kawasan Kampung Pulau Raja, Kubang Kerian, iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun menggunakan sebilah parang.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan tidak mencadangkan jaminan atas alasan tertuduh merupakan bekas suami kepada isteri mangsa dan penggunaan senjata berbahaya dalam kejadian.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Muhammad Fariduddin Mat Noor, memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin atas faktor tanggungan dan kesihatan.

“Tertuduh menanggung lima orang anak termasuk tiga anak tiri serta menghidap penyakit jantung. Beliau memerlukan rawatan berkala dan sebelum ini pernah dua kali dikejarkan ke hospital serta dirawat di wad ketika dalam tahanan reman,” katanya.

Peguam bela turut memaklumkan bahawa tertuduh telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis sepanjang siasatan dan tidak mempunyai sebarang rekod masalah disiplin di tempat kerja.

“Sekiranya berlaku sebarang kacau ganggu terhadap mangsa atau saksi, mahkamah berhak menarik balik jaminan yang diberikan,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Setelah mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan menetapkan syarat agar tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.

Tertuduh juga diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan setiap dua bulan sekali.

Mahkamah turut menegaskan bahawa jaminan boleh ditarik balik sekiranya tertuduh melanggar syarat yang ditetapkan.

Mahkamah menetapkan 26 Ogos sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!