PM tegas kawal hutang negara demi masa depan rakyat

Anwar (kanan) pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025, di Tanjung Emas pada Ahad. Foto Jabatan Penerangan
Anwar (kanan) pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025, di Tanjung Emas pada Ahad. Foto Jabatan Penerangan
A
A
A

MUAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh memandang ringan isu hutang negara kerana ia melibatkan masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata, walaupun ada pihak mempersoalkan kelantangannya yang sering menyentuh isu hutang, namun ia merupakan hakikat yang perlu ditangani dengan penuh tanggungjawab.

“Memang betul, hutang negara masih banyak. Kalau tak bayar, siapa nak datang melabur? Negara yang enggan bayar hutang tidak akan menarik pelabur.

“Tahun 2022, kita pinjam RM100 bilion. Tahun berikutnya turun kepada RM90 bilion. Tahun ini pula RM80 bilion. Kita kawal supaya tiada tambahan hutang besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Tanjung Emas, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk, Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Anwar menegaskan, perjuangannya bukan bersifat peribadi tetapi demi memastikan kekayaan negara dikembalikan kepada rakyat.

“Hutang ketika Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, beliau berhutang dari Bank Dunia untuk membangunkan projek luar bandar.

“Kalau hutang sebegitu kita terima, saya tak rasa susah kerana saya tahu bapa kita dulu berhutang untuk bangunkan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Tapi kalau hutang untuk sakau, inilah yang kita lawan. Kita kena ambil tindakan kerana saya nak wang yang diambil daripada rakyat, dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!