Rangkaian geng pecah masuk hospital diberkas

YOGYAKARTA – Polis menumpaskan rangkaian pencuri aktif yang dipercayai terlibat dalam lebih 10 kes pecah masuk melibatkan hospital swasta, kedai serbaneka dan kilang di daerah Gunungkidul, Yogyakarta sejak tahun lalu.
Ketua Unit Siasatan Jenayah (Kasatreskrim) Polis Gunungkidul, AKP Yahya Murray berkata, seramai 12 individu termasuk dalang utama dikenali sebagai BRS berjaya diberkas hasil siasatan berperingkat sejak Mei lalu.
Menurutnya, siasatan bermula selepas laporan kehilangan telefon bimbit dan dompet dari sebuah hospital swasta di Kapanewon Semanu pada 18 Mei 2025 yang melibatkan kerugian kira-kira Rp3.8 juta (RM1,140).
“Susulan laporan itu, polis berjaya menahan tiga individu dikenali sebagai D, TN dan AT. Siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek keempat, AA di kawasan Ngawen.
“Hasil siasatan ke atas AA membawa kepada pengesanan lapan lagi individu termasuk BRS, R dan UJ,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Gunungkidul, pada Isnin.
Yahya berkata, kumpulan berkenaan dipercayai saling mengenali dan menjadikan premis yang terletak di lokasi sunyi sebagai sasaran utama.
Menurutnya, BRS bertindak sebagai perancang utama dengan memperkenalkan ahli kumpulan kepada satu sama lain sebelum mereka mula melakukan pencurian secara berpasukan.
Antara kes yang berjaya dibongkar termasuk kejadian pada 13 Disember 2024 di sebuah kedai serbaneka di Padukuhan Sodo, Kapanewon Paliyan melibatkan kerugian Rp26.6 juta (RM7,980).
“Kes ini dilakukan BRS bersama dua lagi suspek iaitu TH dan YM,” katanya.
Tambahnya lagi, kumpulan sama turut terlibat dalam satu kejadian pecah masuk gudang di Kapanewon Karangmojo pada 28 Disember 2024 dan melarikan lima karton susu dengan nilai kerugian Rp4.8 juta (RM1,440).
Mereka juga mencuri kabel sambungan dan panel elektrik sepanjang 20 meter dari sebuah kilang penggilingan batu di Semanu, mengakibatkan kerugian kira-kira Rp12 juta (RM3,600).
Satu lagi kejadian dilaporkan berlaku pada 26 Julai 2024 di sebuah kedai serbaneka di Kapanewon Ngawen, di mana pelaku melarikan rokok pelbagai jenama, barangan keperluan diri serta peranti DVR CCTV dengan nilai kerugian dianggarkan Rp37 juta (RM11,100).
“Semua sasaran mereka merupakan premis perniagaan yang terletak di kawasan terpencil dan sunyi," katanya.
Seorang lagi suspek dikenali sebagai NY masih diburu polis dan telah disenaraikan sebagai individu dikehendaki.
Kesemua suspek yang ditahan akan disiasat di bawah kesalahan mencuri dan bakal berdepan hukuman penjara berat jika sabit kesalahan. - KOMPAS.com
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

