Kerajaan Kelantan nasihat rakyat tangguh melancong ke Thailand, Kemboja

BACHOK – Kerajaan negeri menasihatkan rakyat Kelantan dan Malaysia secara amnya agar menangguhkan hasrat melancong ke Thailand dan Kemboja susulan konflik ketenteraan yang berlaku di sempadan kedua-dua negara itu.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, walaupun tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat setakat ini, langkah berjaga-jaga wajar diambil memandangkan keadaan semasa masih belum stabil sepenuhnya.
"Setakat ini saya belum dengar rakyat kita terlibat dan didoakan mudah-mudahan tiada yang terjebak dalam konflik ini di sempadan Thailand dan Kemboja.
"Untuk sementara waktu ini, saya nasihatkan rakyat Kelantan dan juga rakyat Malaysia agar menangguhkan cadangan mengunjungi kawasan utara Thailand atau Kemboja," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Penutupan FKRK 2025 di Pantai Irama di sini pada Sabtu.

Ketegangan berbulan-bulan antara Thailand dan Kemboja akhirnya memuncak menjadi konflik bersenjata besar-besaran, menjadikan kawasan sempadan kedua-dua negara sebagai medan pertempuran paling sengit dalam lebih sedekad.
Pertempuran tercetus sejak Khamis lalu, melibatkan penggunaan jet pejuang F-16 oleh Thailand, artileri berat, kereta kebal dan pertempuran darat berskala penuh, sekali gus mendorong Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar pada Jumaat.
Thailand dilaporkan telah memindahkan lebih 100,000 penduduk dari empat wilayah sempadan ke pusat perlindungan sementara susulan pertempuran yang berterusan.
Pertempuran memasuki hari ketiga pada Sabtu menjadikan angka kematian meningkat kepada 33 orang.
Kementerian Pertahanan Kemboja mengesahkan sekurang-kurangnya 13 orang maut, termasuk lapan orang awam dan lima anggota tentera, manakala 71 lagi cedera.
Dalam pada itu, Phnom Penh menyeru gencatan senjata serta-merta bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara merupakan isu lama yang berulang kali mencetuskan ketegangan, antaranya melibatkan wilayah berhampiran Preah Vihear. Bagaimanapun, insiden terbaharu ini disifatkan sebagai yang paling dahsyat sejak 2011.
Kamaruddin berkata, kerajaan negeri menyedari masih terdapat rakyat Kelantan dan Malaysia yang memasuki Kemboja melalui Thailand, terutama dengan menaiki kenderaan sendiri.
“Kita tidak tahu bagaimana keadaan walaupun nampak ada tanda-tanda dan usaha untuk membawa kedua-dua pihak ke meja rundingan. Tetapi apa pun, konflik yang boleh menimbulkan kerosakan adalah sesuatu yang tidak menguntungkan sesiapa.
“Lebih baik melancong dalam negara dan Kelantan sendiri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan bahawa Kelantan menerima lebih 10 juta pengunjung domestik sepanjang tahun lalu hasil kempen Tahun Melawat Kelantan 2024.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada konflik yang berlaku di Thailand dan Kemboja bakal menjejaskan bekalan makanan atau perdagangan dua hala, beliau menjelaskan setakat ini belum ada tanda ketara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

