117 tangkapan dadah bernilai RM200 juta sejak 2020

PUTRAJAYA - Sebanyak 117 kes tangkapan dadah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), membabitkan nilai rampasan dianggarkan hampir RM200 juta hasil pelbagai operasi bersepadu di seluruh negara sejak 2020 hingga Jun tahun ini.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, angka itu bukan sesuatu yang kecil kerana setiap rampasan mampu menyelamatkan beribu nyawa daripada terjebak dengan penagihan dadah.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat operasi dan risikan bersama agensi penguat kuasa lain dalam menangani isu ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2025 yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Menurutnya, Maritim Malaysia kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi dalam memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan maritim secara berterusan.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan membawa masuk dadah ke negara ini melalui jalan laut.
“Setiap inci sempadan perairan negara adalah tanggungjawab Maritim Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengakui perairan negara terus menjadi sasaran sindiket dadah antarabangsa yang menjadikan laluan laut sebagai 'jalan selamat' untuk menyeludup dadah ke Malaysia.
Ujarnya, seperti yang ditegaskan Menteri Dalam Negeri, 80 peratus bekalan dadah masuk ke negara ini melalui laut.
Jelasnya, bagi mendepani cabaran penguatkuasaan di perairan negara, Maritim Malaysia turut diperkasakan melalui penambahan aset laut dan udara.
“Antara aset strategik yang telah diperoleh termasuk Kapal Maritim Tun Fatimah yang kini sedang beroperasi di perairan Laut China Selatan, selain beberapa bot peronda generasi baharu yang telah ditempatkan di kawasan hotspot.
“Maritim Malaysia juga bakal menerima sebuah kapal EX-USCG Cutter Steadfast yang dijadual tiba pada November 2025, di samping helikopter AW189 yang dijangka siap pada 2026, manakala sebuah Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dari Turkiye dijangka siap dan diserahkan pada tahun 2027,” katanya.
Tambahnya, perolehan aset baharu ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal, tetapi turut memperkukuh aspek pemantauan dan pengoperasian di laut.
Katanya, ia sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Madani dalam memperlengkapkan Maritim Malaysia sebagai benteng keselamatan perairan negara.
Mohd Rosli turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang memberi perhatian dan meluluskan permohonan penambahan aset melalui Kementerian Dalam Negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

