Pengunjung teruja, modal RM2 boleh dapat beras

Norazuah sekeluarga ceria bersama barangan yang dimenangi ketika menyertai permainan B4U ketika mengunjungi Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
Norazuah sekeluarga ceria bersama barangan yang dimenangi ketika menyertai permainan B4U ketika mengunjungi Karnival Siang Malam Karangkraf 2025.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang suri rumah menzahirkan keterujaan apabila berjaya memperoleh lima peket beras 400 gram serta lima lagi barangan dapur lain dengan hanya bermodalkan RM20 ketika menyertai Permainan Bantuan Untuk Anda (B4U) di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad.

Norazuah Yaacob, 37, berkata, beliau bersama suami dan dua anak datang seawal jam 9.30 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan, dan menyifatkan permainan B4U sebagai paling berbaloi.

“Hari kedua saya dah datang tapi tak main. Hari terakhir ini saya datang balik dan kami keluar modal RM20 untuk dapatkan macam-macam barang dapur.

“Setiap pusingan hanya perlu kupon berharga RM2 sahaja. Memang murah dan berbaloi.

“Kami main 10 kali, dapat 10 barang antaranya lima paket beras, dua pek gula, sabun dan lain-lain barang yang kos sebenarnya mungkin lebih dua kali ganda,” katanya kepada Sinar Harian.

Permainan B4U membolehkan orang ramai yang membeli akhbar Sinar Harian berharga RM2 senaskhah menyertainya.

Peserta kemudiannya diberi sebiji bola golf untuk bermain dengan cara menggolekkan bola di atas papan B4U, sekali gus berpeluang memperoleh hadiah antaranya beras, gula, kicap, garam, sos cili, biskut, sabun mandi dan susu tin.

Lebih banyak bola, lebih banyak barang boleh dibawa pulang.

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohamad Zakuan Hassan, 43, turut senada menyifatkan permainan B4U sebagai paling berbaloi apabila berjaya memperoleh pelbagai jenis barangan dengan hanya bermodalkan RM16.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zakuan menyifatkan permainan B4U paling berbaloi.
Mohamad Zakuan menyifatkan permainan B4U paling berbaloi.

Katanya, empat biji bola golf yang diberi dimainkan oleh empat anaknya masing-masing berusia 13, 10, 9 dan 6 tahun.

“Permainan paling senang dan pasti bawa balik hadiah. Yuran pun tak mahal. Hadiah pun berpatutan.

“Saya dapat lapan barang antaranya beras, biskut dan makanan ringan. Memang berbaloi,” katanya.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam.

Program selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad itu menawarkan pelbagai acara menarik.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!