Rasai pengalaman Baca Berita Xtreme bersama belut, katak

Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat tertarik untuk mencuba Baca Berita Xtreme di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025. FOTO: SINAR HARIAN.
Pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat tertarik untuk mencuba Baca Berita Xtreme di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025. FOTO: SINAR HARIAN.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berpeluang mendalami ilmu menjadi wartawan, namun kali ini lebih luar biasa kerana aktiviti Baca Berita Xtreme yang diperkenalkan buat julung kalinya menghidangkan belut, ulat, lipas, katak dan tikus sebagai cabaran.

Mudah sahaja, pengunjung hanya perlu membaca teks pada ‘prompter’ mengikut masa ditetapkan sambil mengeluarkan beberapa biji guli yang diletakkan di samping haiwan tersebut.

Penyelaras slot Baca Berita Xtreme, Nur Farhana Abd Manan berkata, Sinar Harian antara reruai paling ramai diserbu dan menjadi pilihan utama pengunjung kerana majoritinya tertarik dengan konsep serta permainan yang disediakan.

“Lebih-lebih lagi, Baca Berita Xtreme yang mana untuk hari kedua sahaja sudah lebih 100 peserta terdiri daripada kanak-kanak, golongan dewasa dan warga emas.

“Cabaran ini bukan sahaja menguji fizikal seperti sentuhan dan rasa, malah kekuatan mental juga memandangkan haiwan yang kami sediakan memang menggelikan buat sesetengah orang.

“Kita boleh lihat gelagat melucukan mereka, ada yang membaca, ada yang menjerit dan menangis! Apa pun, semuanya teruja untuk sertai cabaran ini.

"Diharapkan berbaki satu hari lagi orang ramai menyerbu reruai Sinar Harian,” katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Sementara itu, pengusaha rangkaian kedai runcit, Izni Abdullah, 22, berpandangan, ia satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan meskipun pada mulanya sekadar niat mahu mencuba.

Selepas memutar roda nasib, katanya, dia tidak menyangka terpilih ulat untuk menyelesaikan misi membaca berita kerana terlalu geli dengan serangga itu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau belut hidup saya boleh lagi, cumanya selepas putar roda saya terpilih ulat. Jadi, saya perlu baca berita sambil keluarkan guli di dalam kotak berisi ulat.

“Memang menggelikan kerana ia merayap di atas tangan, tetapi ini satu pengalaman baharu buat saya sekali gus cara untuk mengurangkan trauma,” ujarnya lagi.

Operator kilang, Mohd Izad Ibrahim, 36, turut senada dengan Izni memandangkan ia kali pertama dirinya cuba membaca berita, tetapi sambil memegang belut pula.

Jelas pemuda itu, dia amat geli dan fobia dengan tikus, namun tetap memberanikan diri untuk membaca berita sambil memegang belut demi anak-anak.

“Saya buat untuk anak-anak. Kalau katak atau lipas saya okay, cuma jangan tikus.

“Anak-anak saya pun penggeli orangnya, mungkin ini satu cubaan untuk saya tunjukkan keberanian supaya mereka jadikan ia sebagai contoh teladan,” katanya lagi.

Bagi pelajar, Nur Ellyana Batrisya Hemyliza, 17, pengalaman pertama membaca berita sambil mengeluarkan guli di dalam kotak berisi katak cukup menyeronokkan.

Tambah gadis terbabit, dia tidak terlalu geli dengan amfibia tersebut dan berharap penganjur boleh menyediakan jenis haiwan yang lebih ekstrem.

“Saya dah terbiasa dengan katak cuma agak terkejut bila ia melompat-lompat.

“Saya harap tahun akan datang penganjur boleh sediakan haiwan peliharaan yang lebih ekstrem seperi ular jenis ‘ball phyton’ mesti mencabar!” ulasnya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!