6 suri rumah, nenek pilih 'me time' di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025

Dari kiri, Jamilah, Hazilawati, Ramlah, Julia, Tahirah dan Rohana memilih untuk 'me time' bersama di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad
Dari kiri, Jamilah, Hazilawati, Ramlah, Julia, Tahirah dan Rohana memilih untuk 'me time' bersama di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad
A
A
A

SHAH ALAM – Lazimnya, golongan remaja sering dilihat hadir ke acara karnival secara berkumpulan, namun berbeza buat sekumpulan enam wanita yang sebahagiannya sudah mencecah usia emas dan mempunyai cucu apabila memilih untuk menikmati masa peribadi atau 'me time' di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad.

Kesemua mereka yang juga merupakan suri rumah sepenuh masa hadir bersama-sama untuk menyertai pelbagai aktiviti yang ditawarkan sepanjang hari terakhir karnival berlangsung.

Jamilah Ahmad, 54, berkata, mereka tinggal di kawasan yang sama di Seksyen 16, di sini dan sering melakukan aktiviti luar bersama-sama untuk menikmati masa yang berkualiti.

Katanya, sikap rakan-rakan yang bersahaja menjadikan setiap aktiviti yang dilakukan lebih menyeronokkan.

"Asalnya kami semua geng bersenam. Kami memang selalu buat aktiviti luar macam berkhemah dan sebagainya. Acara karnival begini memang antara aktiviti yang kami suka hadiri.

"Bila buat aktiviti sama-sama, masing-masing pun suka kongsi cerita, luah perasaan. Jadi kami rasa gembira," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Bagi Hazilawati Saat, 46, walaupun lebih muda berbanding lima rakan lain, peluang keluar bersama mereka menjadi antara waktu yang berharga untuk dirinya.

"Kami berkawan, jadi bila pergi satu-satu tempat, kami suka berkumpulan. Inilah masa kami untuk 'me time'.

"Taklah duduk rumah saja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senada dengan yang lain, Ramlah Mohamad Ramli, 66, berkata, melakukan aktiviti bersama rakan yang ‘sekepala’ menjadikan setiap urusan lebih mudah.

"Anak-anak pun dah besar, jadi inilah masa untuk kami luangkan bersama," katanya.

Tiga lagi rakan mereka, masing-masing Julia Ismail, 55; Tahirah Seleman, 55; dan Rohana Manja, 60, turut menzahirkan keterujaan apabila dapat meluangkan masa bersama dengan lebih bebas dan merancang untuk berada di karnival selama beberapa jam sebelum pulang.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, bermula Jumaat hingga Ahad dari jam 9 pagi hingga 12 tengah malam.

Antara aktiviti yang berlangsung selama tiga hari ialah rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, pertandingan-pertandingan melibatkan pelajar sekolah, dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.

Karnival berkenaan dirancang sebagai acara komuniti berskala besar yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk turut serta, khususnya penduduk di sekitar Lembah Klang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!