Penguat kuasa direman kes 'counter setting'

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat. Foto: SPRM
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat. Foto: SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM8,000 semasa bertugas di kaunter ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perintah reman selama lima hari hingga 29 Julai depan terhadap suspek dikeluarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Jumaat.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang pada Khamis di tempat bertugas.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki menerima wang rasuah tersebut ketika sedang bertugas dan perbuatannya dikesan melalui pemantauan kamera litar tertutup (CCTV).

“Hasil pemeriksaan terhadap suspek menjumpai wang berjumlah kira-kira RM8,000 di dalam poket seluar suspek," katanya.

Tambah sumber, disyaki ia wang rasuah tersebut adalah hasil daripada kegiatan 'counter setting'.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Khairul Izwan Karim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!