Sinar Harian hidupkan karnival dengan permainan cabaran berani

Reruai Sinar Harian dikerumuni pengunjung sejak awal pagi Jumaat. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Reruai Sinar Harian dikerumuni pengunjung sejak awal pagi Jumaat. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM – Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 terus mencuri tumpuan pengunjung apabila pelbagai pengisian unik dan mencabar disediakan termasuk permainan Bantuan Untuk Anda (B4U) serta aktiviti Baca Berita Ekstrem yang diperkenalkan buat julung kalinya.

Penyelaras permainan B4U, Nurul Riduan Nor Ashaha berkata, konsep permainan tersebut membolehkan orang ramai yang membeli akhbar Sinar Harian berharga RM2 menyertai permainan bagi menebus hadiah barangan asas.

“Setiap pembelian akan menerima satu bola yang digunakan untuk bermain permainan B4U. Melalui permainan ini, mereka berpeluang memenangi barangan keperluan asas secara rawak,” katanya.

Permainan B4U membolehkan pengunjung berpeluang memenangi barangan keperluan asas seperti gula dan beras. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Permainan B4U membolehkan pengunjung berpeluang memenangi barangan keperluan asas seperti gula dan beras. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurutnya, sembilan jenis barangan asas yang ditawarkan termasuk beras sumbangan Jasmine, barangan KK Mart, Mamee, Econsave, CSR dan DNeX.

Nurul Riduan berkata, sambutan daripada golongan pelajar, guru serta ibu bapa amat menggalakkan, terutama mereka yang pernah menyertai edisi karnival terdahulu.

“Mereka tahu keseronokan dan manfaat aktiviti ini, jadi apabila datang semula, mereka lebih bersedia untuk membawa pulang barangan asas seperti beras dan gula,” katanya.

Tambah beliau, kaedah ini bukan sahaja menyeronokkan malah memberi manfaat secara langsung kepada peserta.

Artikel Berkaitan:

“Ibu bapa sendiri teruja apabila anak-anak balik rumah bukan sahaja seronok bermain, tapi juga bawa balik barangan keperluan harian,” katanya.

Paling lumayan apabila peraduan Teka Tutup Botol dalam Balang menawarkan hadiah motosikal GGR EV LionG1 tajaan GGR Motor (M) Sdn Bhd kepada pemenang bertuah.

Sementara itu, Urusetia Reruai Sinar Harian, Nur Farhana Abdul Manan berkata, satu lagi aktiviti baharu yang diperkenalkan adalah Baca Berita Ekstrem yang mencabar mental dan fizikal peserta.

“Kalau tahun lalu peserta hanya baca berita biasa, tahun ini kita bawa kelainan – baca berita sambil memegang haiwan,” katanya.

Cabaran Baca Berita Ekstrem memerlukan peserta membaca berita sambil memegang haiwan antaranya tikus dan lipas. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR
Cabaran Baca Berita Ekstrem memerlukan peserta membaca berita sambil memegang haiwan antaranya tikus dan lipas. FOTO: ASRIL ASWANDI SHUKOR

Menurutnya, peserta perlu membaca teks berita sambil mengeluarkan lima biji guli dari dalam akuarium yang mengandungi haiwan berkenaan.

“Mereka tidak dibenarkan melihat haiwan tersebut. Cabaran ini menguji keberanian dan keupayaan mereka mengawal emosi ketika melaksanakan dua tugasan serentak,” jelasnya.

Antara haiwan yang digunakan dalam cabaran ini termasuk ular, belut, katak, tikus makmal dan lipas, yang dipilih khusus kerana elemen ‘menggelikan’ yang tinggi.

Setiap peserta yang menyertai cabaran Baca Berita Ekstrem turut menerima barangan cenderahati sebagai penghargaan.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang berlangsung di Dataran Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam dari Jumaat hingga Ahad ini menawarkan pelbagai acara lain termasuk rumah hantu, Pasar Saloma, permainan go-kart, pertandingan kawad, koir, hari kantin sekolah dan jualan buku dengan harga istimewa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!