Himpunan Turun Anwar: Polis teliti sekiranya ada ucapan 3R, hasutan

KUALA LUMPUR - Polis akan meneliti sekiranya terdapat ucapan berbaur isu agama, kaum dan institusi diraja (3R) serta hasutan dalam Himpunan Turun Anwar di Dataran Merdeka di sini pada Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihaknya akan mengkaji berhubung isu terbabit.
"Kita akan buat kajian sekiranya ada ucapan yang sentuh 3R, ucapan berbentuk hasutan. Kita tetap akan ambil tindakan.
"Seperti mana saya kata, hak untuk berhimpun secara aman tetap ada. Cumanya kita ada akta yang mana kalau melangkaui perkara tersebut tindakan pasti akan diambil," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Mohamed Usuf berkata, himpunan terbabit disertai kira-kira 18,000 peserta.
Tambahnya, setakat ini tiada laporan polis dan himpunan terbabit berjalan lancar tanpa sebarang provokasi melampau mahu pun apa-apa bencana.
"Semuanya berjalan lancar walaupun ada satu dua perkara tidak dipersetujui di peringkat awal, tapi kita dapat selesaikan.
"Nasihat saya kepada penganjur di masa akan datang mungkin perlu lebih transparent (telus). Pihak kami perlu memantau dari sudut keselamatan orang ramai," ujarnya.
Kata beliau, sebarang perkara yang tidak dibenarkan berkait dengan isu keselamatan dan menjadi tanggungjawab polis untuk memantau perkara itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
