40,000 akaun terjejas akibat pencemaran ammonia di loji air Skudai

JOHOR BAHRU - Hampir 40,000 akaun pengguna di sekitar Johor Bahru dan Skudai terjejas berikutan kandungan ammonia melebihi tahap selamat dikesan dalam sumber air mentah yang membekalkan air kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, Skudai pada Rabu lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani berkata, pencemaran ammonia ini merupakan insiden serius yang memberi kesan langsung kepada bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan terlibat.
"Dengan kepekatan tinggi, ammonia boleh mencemarkan air sungai dan menjadikannya berbahaya untuk digunakan. Ini bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, malah turut membahayakan kesihatan manusia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ranhill SAJ, sebagai operator air tunggal di Johor, telah mengambil langkah proaktif bagi mengawal keadaan dan berjaya mengurangkan jumlah akaun pengguna terjejas kepada kurang 1,000 akaun setakat ini.
Syarikat itu turut menjalankan pemantauan rapi terhadap kualiti air dengan mengambil sampel dari lokasi yang terjejas dan sedang bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan untuk mengenal pasti punca pencemaran serta mengambil tindakan mitigasi segera.
Beliau berkata, antara punca pencemaran ammonia yang dikenal pasti termasuk sisa kumbahan, sisa industri dan aktiviti pertanian yang tidak terkawal.
Sebagai sebahagian daripada usaha memohon pertolongan ALLAH SWT, Ranhill SAJ turut menganjurkan solat sunat istisqa di loji tersebut pagi ini, yang dipimpin oleh Guru Takmir Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mohd Zunnurain Abdul Khohar.
Solat berkenaan turut disertai petugas syarikat serta penduduk setempat.
Ranhill SAJ meminta semua pihak, termasuk masyarakat dan industri untuk memainkan peranan aktif dalam memelihara sungai dan alam sekitar demi kelangsungan sumber air bersih kepada rakyat Johor. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
