Zainol Fadzi kekal di Pasir Salak

Zainol Fadzi Paharudin
Zainol Fadzi Paharudin
A
A
A

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengekalkan jawatan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pasir Salak selepas menewaskan lawannya pada pemilihan parti itu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Perak, Saiful Adli Mohd Arshad berkata, Setiausaha Bersatu Perak itu menang dengan 632 undi berbanding lawannya, Abdul Wahab Nok dengan 18 undi.

Menurutnya, Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak pula disandang Mohamad Halisham Khalid selepas berjaya memperoleh 340 undi dengan menewaskan pencabarnya, Sulaiman Yeop Mat Isa.

"Semalam dua bahagian melangsungkan mesyuarat masing-masing iaitu Pasir Salak dan Ipoh Barat manakala minggu depan Bersatu Bahagian Sungai Siput akan menjadi bahagian terakhir di Perak mengadakan pemilihan.

"Alhamdulillah, setakat ini perjalanan pemilihan dan Mesyuarat Cawangan Bersatu di Perak berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Saiful Adli berkata, pemilihan Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Barat menyaksikan kemenangan Iskandar Abdul Rahman dengan 221 undi menewaskan penyandangnya, Ariffin Md Rafil dengan 53 undi.

Di Perak, pemilihan Bersatu menyaksikan tujuh ketua bahagian menang tanpa bertanding, manakala lima bahagian lagi tiada pertandingan untuk semua jawatan yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan: