Penguat kuasa terlibat 'setting counter' kantoi dirakam CCTV

SEPANG - Tindakan mencurigakan seorang pegawai penguat kuasa di kaunter pemeriksaan masuk Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengundang padah apabila dicekup selepas disyaki terbabit dalam 'setting counter' pada Khamis.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memaklumkan pegawai terbabit ditahan kira-kira jam 9.20 pagi.
"Unit Pemantau dan Unit Integriti AKPS sebelum itu mengesan pergerakan mencurigakan suspek menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
"Pemeriksaan lanjut kemudian menemui wang tunai berjumlah RM8,391.45, tiga peranti komunikasi dan beberapa catatan nombor pasport dalam simpanan pegawai terbabit," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, siasatan awal mendapati catatan tersebut mengandungi empat digit terakhir nombor pasport yang dipercayai digunakan untuk mengatur laluan keluar masuk individu secara tidak sah.
"Pegawai itu diserahkan kepada Unit Integriti AKPS KLIA untuk siasatan dalaman sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor bagi tindakan lanjut.
"AKPS sentiasa memandang serius sebarang pelanggaran integriti terutama yang melibatkan aspek keselamatan di pintu masuk negara," katanya.
Menurutnya, AKPS akan terus memperkukuh pemantauan dalaman dan mempertingkat kerjasama antara agensi bagi membanteras salah laku dalam kalangan pegawai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

