Inisiatif Sejahtera Madani perlu ada tindakan susulan menyeluruh

PUTRAJAYA - Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Madani (Sejahtera Madani) adalah agenda nasional untuk membasmi kemiskinan bandar, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif itu satu perkembangan positif, namun perlu memastikan adanya tindakan susulan menyeluruh supaya hasilnya dapat dinikmati secara berterusan oleh golongan yang memerlukan.
"Seperti yang sering disebut, kita tidak boleh hanya memberi ikan, tetapi mesti memberi kail supaya rakyat mampu mencari ikan sendiri.
"Dengan erti kata lain, program itu mesti bersifat jangka panjang dan disertai pemantauan bersama oleh sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan-badan lain. Ini satu pendekatan yang baik," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menghadiri majlis pelancaran inisiatif Sejahtera Madani yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Khamis.
Ahmad Zahid berkata, jumlah keseluruhan kutipan Tabung Sejahtera Madani hampir RM120 juta itu bukan sahaja meliputi bantuan dalam bentuk kewangan, tetapi juga dalam bentuk barangan, perkhidmatan serta latihan.
Beliau berkata, inisiatif itu satu usaha baik yang dikoordinasikan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Sejahtera Madani ialah inisiatif nasional bagi membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih).
Inisiatif itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus serta bersepadu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, Sejahtera Madani ialah satu inisiatif nasional yang dirangka khusus untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar.
Beliau berkata, program seperti itu selaras dengan Teras Kelima Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam, iaitu memperkukuh sinergi antara sektor awam dan swasta khususnya melibatkan badan korporat termasuk GLC, GLIC, Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) serta badan berkanun.
"Rantaian pelaksanaan program sebegini perlu terus diperkasakan sejajar dengan pendekatan Whole-of-Nation (keseluruhan kerajaan) yang menekankan semangat kebersamaan dan kemuafakatan selari dengan prinsip ihsan yang menjadi tunjang kepada nilai-nilai Madani," katanya.
Beliau turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan-rakan strategik kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu masyarakat yang memerlukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
