Lonjakan 14 kali ganda titik panas di Pulau Sumatera

Provinsi Riau paling teruk terjejas dengan lebih 500 titik panas direkodkan. Foto AFP
Provinsi Riau paling teruk terjejas dengan lebih 500 titik panas direkodkan. Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Pulau Sumatera di Indonesia menyaksikan peningkatan mendadak kebakaran hutan dan kawasan pertanian dengan lonjakan 14 kali ganda jumlah titik panas daripada 94 kepada lebih 1,000 dalam tempoh 10 hari.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG) menerusi laporan pada Isnin lalu merekodkan sebanyak 1,292 titik panas di provinsi tersebut.

Wilayah Riau paling teruk terjejas dengan kira-kira 582 titik panas dikenal pasti berbanding 38 yang dicatatkan pada 12 Julai lalu.

“Trend ini kian meningkat kerana Riau memasuki kemuncak musim kemarau selain intensiti hujan dan pertumbuhan awan semakin berkurangan,” kata penyelaras BMKG di wilayah itu, Irwan Nasution.

Kebakaran hutan merebak di Karya Indah, Riau. Foto AFP
Kebakaran hutan merebak di Karya Indah, Riau. Foto AFP

Kabupaten Solok dan Lima Puluh Kota di provinsi Sumatera Barat turut mengisytiharkan darurat pada Selasa berikutan peningkatan titik panas di kawasan tersebut.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Wilayah, Ilham Wahab berkata, kira-kira 14 kecamatan di Solok dilanda kebakaran hutan.

Menurutnya, Rokan Hilir dan Rokan Hulu paling teruk terjejas dengan kira-kira 46 hektar kawasan musnah dijilat api hingga menyebabkan jerebu tebal serta jarak penglihatan terhad kepada satu kilometer.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, sebahagian besar kebakaran di Lima Puluh Kota berlaku di kawasan cerun bersudut 70 hingga 90 darjah yang mengakibatkan kesukaran kepada pasukan bomba untuk tiba di lokasi berkenaan.

Ilham menjelaskan helikopter pemadam api turut dikerahkan ke Sumatera Barat memandangkan usaha mengawal kebakaran sedang giat dilakukan di Riau dan Sumatera Selatan.

Anggota bomba mengawal kebakaran di kawasan tanah gambut di Rimba Panjang, Riau. Foto AFP
Anggota bomba mengawal kebakaran di kawasan tanah gambut di Rimba Panjang, Riau. Foto AFP

Pembenihan awan

Sepanjang akhir minggu lalu, lebih 140 kebakaran hutan dan tanah gambut dilaporkan di Riau.

Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) mengambil langkah segera melakukan pembenihan awan selama seminggu di provinsi tersebut bermula Isnin lalu.

Sementara itu, Ketua Pusat Data Data, Komunikasi dan Maklumat Bencana BNPB, Abdul Muhari memaklumkan langkah tambahan seperti penggunaan helikopter pengebom air dan rondaan udara telah dibuat di Riau sebagai usaha untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak di Riau.

Sejumlah kawasan masih diselubungi jerebu tebal meskipun belum ada kes asap yang menyesakkan nafas direkodkan di Pekanbaru.

Helikopter pengebom air turut dikerahkan untuk menghalang api daripada terus marak. Foto Agensi
Helikopter pengebom air turut dikerahkan untuk menghalang api daripada terus marak. Foto Agensi

Kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia berpunca daripada tindakan pembersihan kawasan ladang pertanian menggunakan teknik tebas dan bakar. Keadaan itu dikatakan menjadi lebih buruk kerana musim kemarau.

Ia juga menjadi punca utama jerebu rentas sempadan yang berulang dan menjadi masalah tahunan negara-negara jiran terutamanya Singapura, Malaysia dan selatan Thailand.

Data Pusat Pemantauan Khusus ASEAN mendapati keadaan kering di sebahagian besar kawasan selatan Asia Tenggara sejak akhir minggu lalu dengan titik panas turut dikesan di Borneo dan sebahagian Semenanjung Malaysia. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!