Trend S-Line buka aib, jejas maruah – MTPN

KUALA TERENGGANU - Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menzahirkan kebimbangan terhadap penularan trend media sosial terbaharu dikenali sebagai 'S-Line' yang disifatkan membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka dan bertentangan dengan nilai agama serta norma masyarakat Timur.
Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli berkata, trend berkenaan yang dipercayai diinspirasikan daripada sebuah drama Korea kini menjadi ikutan dalam kalangan pengguna muda termasuk remaja Muslim yang terpengaruh untuk mempamerkan pengalaman seksualiti di media sosial masing-masing.
Menurutnya, trend ini menonjolkan individu dengan garisan merah dilukis di atas kepala yang didakwa menunjukkan pengalaman seksualiti mereka, semakin banyak garisan dilukis maka semakin banyak pengalaman.
"Ada yang mengaitkan dengan perbuatan zina jika yang melakukan itu belum berkahwin. Meskipun ia kelihatan hanya simbolik, namun realitinya menjurus kepada pendedahan maruah dan mendorong membuka aib secara terbuka.
"Lebih membimbangkan, trend ini disertai semata-mata kerana pengaruh sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO) sehingga mengetepikan batas agama serta adab dalam berpakaian dan perilaku," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Yang Dipertua MTPN Terengganu berkata, pengguna Muslim diseru lebih berprinsip serta tidak terikut-ikut dengan trend tersebut malah Islam sendiri menegah perbuatan membuka aib diri sendiri secara sengaja apatah lagi untuk tontonan umum.
"Masyarakat Muslim khususnya golongan muda dinasihatkan agar lebih berprinsip dan tidak terikut-ikut dengan sebarang trend yang memperdagangkan maruah demi perhatian atau kandungan tular.
"Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai kandungan yang sesuai dikongsi. Maruah bukan untuk dijadikan bahan tontonan atas nama hiburan atau simbolisme kosong," jelasnya.
Sehubungan itu, katanya, pihak MTPN menasihatkan agar setiap individu memanfaatkan media sosial sebagai platform perkongsian ilmu, nilai positif dan inspirasi yang membina, bukan medan untuk menjatuhkan harga diri.
"Ibu bapa, pendidik dan masyarakat secara keseluruhan juga digesa untuk memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar lebih berwaspada terhadap pengaruh trend luar yang bercanggah dengan prinsip Islam dan budaya tempatan.
"Kita di pihak MTPN akan terus komited memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan penggunaan media sosial secara beretika, berpaksikan nilai dan tidak merosakkan kesejahteraan sosial," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
