Buka pejabat biar nampak profesional antara helah 'scammer' pelaburan

Rusdi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ pada Rabu.FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Rusdi (dua dari kiri) ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ pada Rabu.FOTO: SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 4,368 kes penipuan pelaburan tidak wujud dengan jumlah kerugian lebih RM750 juta sejak Januari hingga Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 2,715 kes dilaporkan dengan jumlah kerugian lebih RM350 juta.

"Kita telah mengenal pasti tiga jenis penipuan pelaburan antaranya 'klon firm', mangsa akan menyertai pelaburan melalui iklan pelaburan yang dipaparkan melalui laman sosial.

"Melalui kumpulan WhatsApp yang disertai, mangsa akan diajar oleh ‘trader’ tentang pasaran saham dan mendaftar di aplikasi atau website yang diberikan untuk mula melabur," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Rabu.

Rusdi berkata, modal pelaburan akan dibayar ke akaun atas nama syarikat atau individu lain yang disyaki keldai akaun.

"Pelaburan yang dibuat akan mencatatkan keuntungan, namun ia hanya dalam bentuk paparan di skrin.

"Pelabur akan diberikan pelbagai alasan sekiranya ingin mengeluarkan wang keuntungan tersebut," katanya.

Rusdi berkata, jenis penipuan pelaburan kedua 'high and fast money', di mana sindiket akan menyamar sebagai broker Forex berdaftar di luar negara.

"Mangsa ditawarkan beberapa pakej dan dijanjikan keuntungan berganda dalam masa yang singkat (jam/ hari/ minggu).

Artikel Berkaitan:

"Mangsa akan diminta untuk membuat pelbagai jenis bayaran modal seperti perlaburan, 'broker fee', 'international withdrawal fee', cukai dan sebagainya.

"Bagaimanapun, selepas modal dibayar, keuntungan yang dijanjikan tidak diperolehi," katanya.

Beliau berkata, penipuan pelaburan ketiga pula pelaburan skim ponzi, mangsa akan dijemput menghadiri taklimat secara bersemuka atau mesyuarat dalam talian.

"Sindiket biasanya akan mewujudkan pejabat untuk kelihatan professional dan seterusnya meyakinkan mangsa.

"Setelah berdaftar dengan syarikat, mangsa akan mula mendepositkan modal pelaburan dengan cara memindahkan 'stablecoin' seperti USDT daripada 'wallet exchanger' milik mangsa kepada 'deposit wallet' platform skim pelaburan tersebut," katanya.

Beliau berkata, mangsa akan rasa teruja apabila melihat keuntungan yang tertera di dalam platform tadi dan kemudian mendepositkan modal dengan lebih banyak.

"Modal pelaburan daripada pelabur baru akan digunakan untuk membayar pulangan kepada pelabur sedia ada.

"Sehinggalah satu tahap sindiket ini tidak dapat membayar pulangan disebabkan tiada pelabur baru yang menyertai skim pelaburan tersebut," katanya.

Rusdi berkata, orang ramai dinasihatkan menggunakan formula 'take five'.

"Fikir sebelum melabur. Jadi pelabur yang bijak selalu berfikir dan membuat kajian.

"Tanya soalan dan dapatkan dokumen untuk semakan lanjut dengan pihak berkuasa.

"Ambil tahu modus operandi terkini yang digunakan oleh penjenayah," katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihat membuat semakan online melalui kemudahan yang telah disediakan antaranya: portal semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) untuk semakan akaun bank, syarikat dan nombor telefon," katanya.

"Orang ramai dinasihatkan melawan perasan mudah percaya dan perasaan teruja.

"Jangan mudah percaya dengan keuntungan dan janji-janji manis penjenayah.

"Abaikan semua tawaran pelaburan melalui media sosial yang menawarkan keuntungan berlibat kali ganda," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!