Sindiket tipu nombor ramalan tumpas, 7 individu diberkas

KUALA LUMPUR - Polis menumpaskan sindiket penipuan nombor ramalan yang dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 15 kes di beberapa negeri, membabitkan kerugian hampir RM200,000.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata tujuh individu ditahan dalam enam serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor pada 4 Julai lalu.
"Sindiket berkenaan dikesan aktif memperdaya mangsa menerusi taktik memperkenalkan diri sebagai pemenang loteri dan menawarkan untuk berkongsi wang kemenangan, sebelum mangsa menyerahkan barangan berharga dan kad ATM.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta dua lelaki dan dua wanita warga Indonesia yang disyaki suspek utama sindiket ini, selain dua lagi warga tempatan iaitu pemilik dan jurujual kedai emas,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ, di sini, pada Rabu.
Rusdi berkata, susulan tangkapan itu, pihaknya percaya dapat menyelesaikan 15 kes penipuan sama yang dilaporkan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang, Selangor, Johor dan Negeri Sembilan, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM199,243.
"Kes terbaharu membabitkan sindiket itu berlaku pada 27 Jun lalu, apabila seorang wanita warga emas berusia 63 tahun ditipu sehingga kerugian wang tunai dan barang kemas di Setapak.
“Dalam kejadian itu, mangsa didatangi seorang wanita warga Indonesia yang meminta bantuan menunjukkan jalan ke kedai nombor ramalan, sebelum dipelawa menaiki sebuah kereta dipandu seorang lelaki senegara," katanya.
Beliau berkata, sepanjang berada dalam kenderaan itu yang turut dinaiki empat suspek lain, mangsa dijanjikan RM15,000 daripada ‘wang kemenangan’ dan akhirnya menyerahkan kad ATM serta barang kemas miliknya sebelum diturunkan di satu lokasi.
"Suspek kemudian mengeluarkan wang RM500 daripada akaun mangsa menggunakan kad ATM, dan tidak muncul semula seperti dijanjikan.
“Polis turut merampas enam telefon bimbit, sebuah kereta jenis Perodua Aruz, dua nombor plat palsu, lima beg pelbagai jenama, wang tunai RM1,330 serta beberapa utas rantai, cincin dan anting-anting,” katanya.
Rusdi berkata, empat suspek utama didakwa di mahkamah pada 22 Julai lalu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala tiga warga Indonesia turut dituduh mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penipuan dan dijatuhi hukuman penjara setahun, manakala seorang daripadanya turut dikenakan satu kali sebatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
