Dalang utama sindiket penipuan pinjaman bank diberkas

Mohd Khairi
Mohd Khairi
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang wanita tempatan dipercayai dalang utama sindiket penipuan pembiayaan peribadi sebuah bank tempatan berjaya diberkas dalam operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu pada Jumaat.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, suspek berusia 44 tahun yang merupakan broker kereta itu ditahan di parkir awam di Johor Bahru sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan selepas siasatan terhadap laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM1.32 juta antara Januari hingga April 2024.

"Siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan dokumen palsu dalam permohonan pinjaman yang dibuat tanpa kehadiran fizikal pemohon di bank, selain tiada pengesahan tandatangan di hadapan pegawai bank seperti yang sepatutnya.

"Permohonan dilakukan melalui pos dan selepas wang diluluskan serta dimasukkan ke dalam akaun, semua 'peminjam' gagal membuat bayaran semula.

"Audit dalaman pihak bank kemudian mengesahkan dokumen tujuh peminjam terbabit adalah palsu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, wanita berkenaan dipercayai bertindak mengurus keseluruhan proses sindiket, termasuk mencari peminjam serta menyediakan dokumen palsu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas tujuh keping kad ATM iaitu empat milik peminjam, tiga milik suspek, dua unit telefon bimbit dan beberapa dokumen berkaitan permohonan pinjaman.

Siasatan awal juga mendapati suspek bertindak sebagai ejen yang menawarkan pinjaman kepada individu tidak layak membuat pinjaman sah, seperti mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Artikel Berkaitan:

"Suspek mengenakan caj komisen sebanyak 35 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan dan akan menyimpan kad ATM peminjam sehingga wang dimasukkan ke dalam akaun," ujarnya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula 12 hingga 15 Julai dan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman luar saluran rasmi dan memastikan segala urusan kewangan dilakukan secara bersemuka melalui dokumen yang sah," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!