'RM100 besar nilainya bagi sesetengah orang, belajar erti bersyukur' - Aminuddin

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru masyarakat agar bersyukur dengan penghargaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri yang disifatkan memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah.
Menurutnya, bagi sesetengah pihak mungkin merasakan pemberian tersebut tidak memberi kesan, namun besar ertinya bagi golongan yang benar-benar memerlukan.
"Yang tidak mahu terima, terpulanglah...mungkin tak bermakna untuk dia. Tapi bagi orang susah dan memerlukan, saya rasa ini amat bermakna buat mereka.
"Apa kita buat tak semua orang bersyukur dan tak semua orang akan setuju. Saya harap kita kena belajar ilmu bersyukur itu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Menurutnya, pengumuman itu pastinya dapat memberi kelegaan kepada ramai rakyat kerana dapat mengurangkan kos sara hidup mereka.
Beliau juga berharap setiap tahun akan ada lagi berita gembira seumpama itu.
"Saya rasa ini permulaan yang baik dan saya harap setiap tahun ada pengumuman sebegini yang dapat beri makna kepada rakyat.
"Memang RM100 itu nampak kecil, tapi tidak bagi golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pesakit terlantar," katanya.
Berkenaan cuti pelepasan am tambahan pada 15 September pula, Aminuddin berkata, ia dapat menggalakkan aktiviti pelancongan sekali gus memberi rezeki kepada para peniaga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


